Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

CIA jelaskan bagaimana pemimpin Al-Qaeda Zawahiri dikesan dan dibunuh

Anggaran Waktu Membaca:
CIA jelaskan bagaimana pemimpin Al-Qaeda Zawahiri dikesan dan dibunuh

Ayman al-Zawahiri. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 02 Aug 2022 06:19PM Dikemas Kini : 02 Aug 2022 06:19PM

WASHINGTON: Pemimpin Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri, maut dalam serangan dron Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan  pada hujung minggu lalu, tamparan paling hebat sejak pengasas kumpulan militan itu Osama bin Laden dibunuh  pada 2011, lapor Reuters.

Zawahiri bersembunyi selama beberapa tahun dan operasi untuk mengesan dan membunuhnya dilakukan hasil usaha "berhati-hati, sabar dan berterusan" oleh kumpulan perisikan dan masyarakat membanteras pengganasan, kata seorang pegawai pentadbiran kanan AS kepada wartawan. 

Menurutnya operasi itu dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) selepas mendapat kebenaran Presiden AS, Joe Biden.

Sehingga pengumuman rasmi AS mengenai kematiannya, banyak khabar angin tersebar mengenai tempat persembunyian Zawahiri antaranya di kawasan dikuasai puak etnik Pakistan atau di dalam Afghanistan.

Pegawai kanan yang enggan dikenali itu turut memberikan beberapa butiran operasi pembunuhan Zawahiri.

* Selama beberapa tahun, pemerintah AS tahu tentang rangkaian yang menurut risikannya, menyokong Zawahiri dan sepanjang tahun lalu, menyusuli pengunduran AS dari Afghanistan, pegawai memerhatikan bagi sebarang tanda kehadiran Al-Qaeda di negara itu.

Tahun ini, para pegawai mengesahkan keluarga Zawahiri iaitu isteri, anak perempuan dan cucunya ditempatkan di sebuah rumah rahsia di lokasi selamat di Kabul, yang mana Zawahiri kemudian dikesan berada di tempat yang sama.

* Selama beberapa bulan, pegawai perisikan semakin yakin  mereka sudah mengesahkan identiti Zawahiri di rumah rahsia  di Kabul.

Pada awal April, mereka mula memberi taklimat kepada pegawai pentadbiran kanan. Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, Jake Sullivan, kemudian memberi taklimat kepada Presiden Joe Biden.

"Kami dapat menentukan jadual Zawahiri sekeluarga melalui pelbagai sumber maklumat bebas untuk dilaporkan kepada penyelaras operasi itu, kata pegawai tersebut.

Sebaik Zawahiri tiba di rumah rahsia di Kabul, para pegawai mendapati beliau tidak meninggalkan tempat itu dan beliau disahkan berada di balkoni, di mana  serangan bertubi-tubi dilancarkan, kata pegawai berkenaan.

* Pegawai menyiasat pembinaan dan keadaan rumah rahsia itu serta meneliti penghuninya bagi memastikan AS dengan yakin boleh menjalankan operasi untuk membunuh Zawahiri, tanpa mengancam struktur bangunan bagi mengurangkan  risiko kepada orang awam dan keluarga Zawahiri, tambah pegawai tersebut.

* Sejak  beberapa minggu kebelakangan ini, Presiden Biden bertemu dengan penasihat utama dan Kabinet untuk meneliti dapatan perisikan dan menilai tindakan terbaik.

Pada 1 Julai lalu, Encik Biden diberi taklimat mengenai  operasi yang dicadangkan itu di Bilik Situasi Rumah Putih oleh anggota Kabinetnya, termasuk Pengarah CIA, William Burns.

Encik Biden "bertanyakan soalan terperinci mengenai maklumat yang diketahui dan bagaimana mereka  memperolehinya" serta meneliti model rumah rahsia yang dibina serta dibawa oleh pasukan perisikan ke mesyuarat terbabit.

Presiden juga bertanya mengenai cahaya, cuaca, bahan binaan dan faktor lain yang boleh menjejas  operasi tersebut, kata pegawai berkenaan. Encik Biden juga meminta analisis potensi tindak balas jika serangan dilancarkan di Kabul.

* Sebuah kumpulan peguam kanan pelbagai agensi meneliti secara rapi laporan perisikan dan mengesahkan bahawa Zawahiri adalah sasaran yang sah berdasarkan kepimpinan berterusannya dalam Al-Qaeda.

Pada 25 Julai lalu, Presiden Biden memanggil anggota Kabinet dan penasihat utamanya untuk mendengar taklimat terakhir serta membincangkan mengenai bagaimana pembunuhan Zawahiri akan menjejas hubungan AS dengan Taliban.

Selepas mendapatkan  pandangan pihak lain di dalam bilik itu, Encik Biden membenarkan dilancar "serangan udara yang tepat" dengan syarat ia mengurangkan risiko kematian orang awam. 

* Serangan itu akhirnya dilancarkan pada 9:48 malam (0148 GMT) pada 30 Julai menggunakan dron yang menembak peluru berpandu.

Sumber : Reuters/SU/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa