Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China umum ujian besar-besaran di Chaoyang; sedang COVID-19 'mengganas' di Beijing

Anggaran Waktu Membaca:
China umum ujian besar-besaran di Chaoyang; sedang COVID-19 'mengganas' di Beijing

(Gambar: Jade Gao/AFP)

Diterbitkan : 12 Jun 2022 10:31PM Dikemas Kini : 12 Jun 2022 10:31PM

BEIJING: Daerah dengan jumlah penduduk paling ramai di Beijing, Chaoyang, mengumumkan tiga pusingan ujian besar-besaran untuk membendung penularan "dahsyat" COVID-19.

Ini selepas koronavirus itu muncul semula di sebuah bar di kawasan beli-belah dan hiburan malam minggu lalu selepas bandar itu melonggarkan sekatan-sekatan yang dikuatkuasakan pada April. 

Para pegawai kesihatan bandar itu berkata setakat ini sebanyak 166 kes yang disahkan terkait dengan penularan yang bermula di bar Heaven Supermarket di kawasan Sanlitun pada Khamis (9 Jun), dengan 145 daripadanya adalah pelanggan bar tersebut. 

Ujian besar-besaran akan dijalankan dari Isnin hingga Rabu di daerah Chaoyang di mana terletaknya bar itu, dedah para pegawai sewaktu taklimat media. 

Jumlah terkumpul kes dan kematian akibat pandemik COVID-19 masih rendah di China berbanding dengan banyak negara di seluruh dunia. 

Walaupun sebahagian besar dunia sudah melonggarkan sekatan-sekatan COVID-19, pihak berkuasa China masih mengekalkan dasar sifar COVID-19.

Ini sedang negara itu cuba membendung wabak tersebut dengan langkah-langkah termasuk mengawal pergerakan dan ujian saringan secara besar-besaran. 

Jurucakap pemerintah bandar Beijing, Xu Hejian mendedahkan pada Ahad (12 Jun) bahawa penularan COVID-19 yang sedang berlaku di ibu kota China itu amat "dahsyat". 

"Buat masa ini, risiko penularan masih wujud. Tugas yang paling penting buat masa ini adalah untuk mengesan punca penularan kelompok itu dan mengurus serta mengawal risikonya," kata Cik Xu, sambil menambah bahawa Beijing mesti mencegah kemunculan "faktor yang boleh memudaratkan lagi epidemik itu". 

Dua bangunan kediaman dengan beratus-ratus penduduk di salah satu kawasan di Chaoyang sudahpun diletakkan di bawah perintah berkurung yang ketat pada Ahad (12 Jun) setelah satu kes positif dikesan, kata seorang pekerja jawatankuasa penduduk kepada Reuters. 

Beberapa perniagaan berdekatan termasuk Paradise Massage & Spa juga diletakkan di bawah perintah berkurung sementara, dengan para pegawai keselamatan dikerahkan untuk mengawal pintu keluar. 

Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa