Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China tuntut AS tarik balik sekatan import kapas, tomato dari Xinjiang

Sekatan Washington berpotensi jejas teruk pengeluaran Xinjiang, yang merupakan pembekal kapas utama kepada pengeluar pakaian di beberapa negara.

Anggaran Waktu Membaca:
China tuntut AS tarik balik sekatan import kapas, tomato dari Xinjiang

Lelaki Uighur di sebuah pasar pakaian di Urumqi, Xinjiang. (Gambar fail: REUTERS/Carlos Barria)

Diterbitkan : 14 Jan 2021 08:56PM Dikemas Kini : 14 Jan 2021 08:59PM

BEIJING: China pada Khamis (14 Jan) menuntut Washington menarik balik larangan import kapas dan tomato dari wilayah barat laut yang majoriti penduduknya beragama Islam. Sekatan itu dibuat atas aduan produk tersebut dihasilkan oleh buruh paksa, satu dakwaan yang dinafikan seorang jurucakap sebagai "pembohongan abad ini".

Larangan yang diumumkan pada Rabu menambah lagi sekatan sedia ada yang dilaksanakan pentadbiran Presiden Donald Trump terhadap pegawai, syarikat dan barangan China berhubung isu hak asasi manusia, keselamatan dan aduan lain.

Kesan komersilnya tidak jelas, namun Beijing amat peka terhadap kritikan mengenai wilayah Xinjiang, di mana lebih 1 juta penduduk Uighur dan minoriti Muslim lainnya dikurung di kem-kem tahanan.

Beijing menafikan sebarang penganiayaan dan menyatakan pihaknya sedang berusaha untuk menggalak pembangunan ekonomi dan membasmi radikalisme.

"Isu buruh paksa yang disebut itu adalah 'pembohongan abad ini' yang dibuat tanpa asas langsung," kata jurucakap kementerian luar, Zhao Lijian. Beliau menuduh Amerika Syarikat mahu menjejas teruk syarikat China dan pembangunan negara itu.

"Kami menggesa pihak AS untuk menghormati fakta, segera menarik keputusannya yang salah dan berhenti mencampuri urusan dalaman China dengan dalih isu berkaitan dengan Xinjiang," kata Encik Zhao.

Encik Zhao menegaskan bahawa Beijing akan "melindungi kepentingan dan martabatnya" namun tidak memberikan petanda tentang sebarang tindak balas. China pernah membuat kenyataan serupa ekoran sekatan Amerika Syarikat sebelum ini tetapi tidak mengambil tindakan.

Xinjiang adalah pembekal kapas utama kepada pengeluar pakaian di China serta Bangladesh, Vietnam dan negara-negara lain. Ini menjadikan larangan Amerika Syarikat itu satu cabaran bagi peruncit atau jenama pakaian, yang dikehendaki memastikan produk mereka bebas dari kapas Xinjiang.

Xinjiang juga merupakan pembekal utama pes tomato bagi jenama-jenama makanan asing, tetapi pasaran utamanya adalah Eropah dan Timur Tengah.

Amerika Syarikat mengimport barangan kapas bernilai AS$9 bilion (S$11.94 bilion) langsung dari China tahun lalu, menurut Washington.

Sebelum ini, Amerika Syarikat mengenakan larangan import pada Disember ke atas barangan dari sebuah syarikat yang mengawal sekitar sepertiga pengeluaran kapas Xinjiang. Washington menyatakan pihaknya telah menghentikan penghantaran bernilai sekitar AS$2 juta (S$2.65 juta). Kanada dan Britain juga telah mengumumkan rancangan untuk menyekat import barang yang dihasilkan oleh buruh paksa.

Sumber : AP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan