Skip to main content

Dunia

China tuduh dakwaan Tribunal Uighur sebagai satu pembohongan

Sebuah panel peguam dan pakar hak asasi berpangkalan di United Kingdom yang sedang menyiasat pencabulan hak asasi kaum Uighur di China akan mula mendengar keterangan daripada para saksi pada Jumaat (4 Jun). Beijing menyifatkannya sebagai satu "jentera pembohongan".

Anggaran Waktu Membaca:
China tuduh dakwaan Tribunal Uighur sebagai satu pembohongan

Gambar dipetik pada 4 Jun 2019 menunjukkan kemudahan yang dipercayai sebagai kem tahanan masyarakat minoriti Muslim di Xinjiang, China (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 05 Jun 2021 07:56PM Dikemas Kini : 05 Jun 2021 08:01PM

LONDON: Sebuah panel peguam dan pakar hak asasi berpangkalan di United Kingdom yang sedang menyiasat pencabulan hak asasi kaum Uighur di China akan mula mendengar keterangan daripada para saksi pada Jumaat (4 Jun).

Beijing menyifatkannya sebagai satu "jentera pembohongan".

Menurut 'Tribunal Uighur', sembilan ahli juri akan mendengar keterangan secara langsung mengenai tuduhan jenayah yang dipercayai berlaku di wilayah Xinjiang, termasuk pemandulan secara paksa, penyeksaan, kehilangan dan buruh paksa.

Pertubuhan itu, yang tidak disokong oleh mana-mana negara, merancang untuk menggunakan perbicaraan di London untuk memutuskan sama ada Beijing melakukan penghapusan kaum atau jenayah terhadap kemanusiaan ke atas kaum Uighur dan kumpulan-kumpulan Muslim lain di China.

Naib Pengerusi tribunal tersebut, Nick Vetch enggan memberikan komen apabila diminta untuk mengulas tentang kritikan hebat daripada China.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kerja-kerja tribunal tersebut dijalankan dengan "tidak bersifat berat sebelah" dan sebaliknya berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan pada minggu ini dan September lalu serta "ribuan muka surat" bukti yang sudah dikumpul sejauh ini.

"Tribunal ini adalah satu usaha bebas dan ia akan menangani bukti dan hanya dengan bukti semata-mata," kata Encik Vetch kepada AFP.

"Kami telah mengundang China untuk memberi kami bukti yang mereka ada. Setakat ini kami belum menerima apa-apa daripada mereka."

Tribunal itu juga merancang untuk membentangkan laporannya pada Disember dan walaupun ia tidak mempunyai sebarang bidang kuasa, para peserta berharap dapat menarik perhatian antarabangsa dan mencetuskan tindakan yang sewajarnya.

"Terserah kepada negara-negara, institusi-institusi antarabangsa, syarikat-syarikat komersial, pertubuhan-pertubuhan seni, perubatan dan pendidikan serta individu-individu untuk menentukan bagaimana untuk mengguna pakai keputusan tribunal, walau apa saja keputusannya," menurut panel tersebut.

Panel itu ditubuhkan atas permintaan Kongres Uighur Sedunia, kumpulan terbesar yang mewakili kaum Uighur yang hidup dalam buangan, yang melobi masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan terhadap China atas pencabulan hak asasi manusia yang berlaku di Xinjiang.

Pada Mac, tribunal tersebut adalah antara empat entiti United Kingdom (UK) dan sembilan individu yang diluluskan oleh Beijing untuk menyuarakan keprihatinan tentang layanan terhadap kaum Uighur.

TRIBUNAL SETAKAT SANDIWARA

Pengerusi tribunal tersebut, Geoffrey Nice, seorang peguam mapan dari Britain, dinamakan secara peribadi dalam senarai China itu bersama dengan Helena Kennedy, peguam hak asasi manusia berprofil tinggi yang juga merupakan seorang penasihat kepada tribunal tersebut.

Encik Nice, yang menerajui pasukan pendakwa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap jenayah perang bekas pemimpin Serbia, mendiang Slobodan Milosevic, berkata sekatan-sekatan itu tidak akan menjejas kerja tribunal berkenaan.

Anggota-anggota lain dalam tribunal tersebut termasuk para pakar dalam bidang perubatan, pendidikan dan antropologi.

China pula secara terbuka mengutuk keras tribunal tersebut.

"Ia bukanlah satu tribunal yang betul atau sebuah mahkamah khas, tetapi setakat mesin yang mengeluarkan pembohongan," kata jurucakap kementerian luar, Zhao Lijian pada minggu lalu.

"Ia ditubuhkan oleh individu-individu yang bermuslihat dan tidak mempunyai sebarang bidang kuasa. Ia sekadar satu sandiwara yang menyamar sebagai undang-undang," kata beliau kepada para wartawan.

Pemerintah Amerika Syarikat (AS) menuduh China menjalankan "penghapusan kaum" di Xinjiang. Britain walaupun enggan menuduh sedemikian menyertai Amerika Syarikat dan Jerman bulan lalu dalam menggesa Beijing supaya menghentikan penindasan terhadap kaum Uighur.

Menurut kumpulan-kumpulan hak asasi manusia, sehingga sejuta orang Uighur dan anggota kaum minoriti Turki lain telah ditahan dalam kem-kem tahanan di Xinjiang.

Beijing sudah berkali-kali menafikan sebarang salah laku dan sebaliknya menegaskan bahawa ia adalah kem-kem kejuruan bagi mencegah fahaman pelampau dan meningkatkan pendapatan kaum tersebut.

Tribunal itu dilancarkan seminggu menjelang sidang puncak G7 di Britain yang akan dihadiri oleh Presiden Joe Biden, yang turut menyeru demokrasi-demokrasi Barat yang lain supaya bertindak lebih tegas terhadap China.

Menjelang persidangan itu, menteri-menteri luar G7 pada bulan lalu mengatakan bahawa mereka "amat prihatin" terhadap pencabulan hak asasi kaum Uighur dan di Tibet dan menggesa China supaya berhenti menjadikan ketua-ketua pro-demokrasi di Hong Kong sebagai sasaran negara itu.

Sumber : AFP/IH/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita