China tolak dakwaan tribunal bahawa Presiden Xi bertanggungjawab atas pembunuhan Uyghur
Kedutaan China di London menyifatkan tribunal tidak rasmi, yang menuduh Beijing melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap masyarakat Uyghur, sebagai permainan politik seteru China yang menyebarkan kepalsuan.
Seorang petani berjalan di hadapan lukisan mural yang memaparkan penduduk minoriti di Kashgar, Xinjiang pada 19 Mac 2021. (Gambar fail: Ng Han Guan/AP)
LONDON: Kedutaan China di London menyifatkan tribunal tidak rasmi, yang menuduh Beijing melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap masyarakat Uyghur, sebagai permainan politik seteru China yang menyebarkan kepalsuan.
Tribunal tidak rasmi itu, yang dianggotai para peguam dan juru kempen, menyatakan pada Khamis (9 Dis) bahawa Presiden China, Xi Jinping, memikul tanggungjawab utama dalam apa yang ia sifatkan sebagai pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan dan pencabulan hak asasi masyarakat Uyghur dan Kazakh di wilayah Xinjiang.
Seorang jurucakap kedutaan berkata ia "sekadar alat politik yang digunakan beberapa kumpulan anti-China dan pemisah untuk menipu dan memperdaya orang ramai".
"Sesiapa yang mempunyai hati nurani dan keupayaan berfikir tidak akan ditipu atau diperdaya," kata jurucakap tersebut.
APA YANG DIDAKWA OLEH "TRIBUNAL"
Tribunal tidak rasmi yang diketuai peguam Britain Geoffrey Nice itu tidak memegang kuasa sekatan atau penguatkuasaan.
"Republik Rakyat China (PRC) sudah melakukan pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan dan pencabulan hak asasi terhadap masyarakat Uyghur, Kazakh dan penduduk minoriti lain di kawasan barat laut China yang dipanggil Xinjiang," menurut Tribunal Uyghur yang berpangkalan di Britain itu pada Khamis.
"Tribunal berpuas hati bahawa Presiden Xi Jinping...dan pegawai berpangkat tinggi PRC dan Parti Komunis China (CCP) memikul tanggungjawab utama ke atas perkara yang sudah berlaku di Xinjiang."
Kongres Uyghur Sedunia (WUC) pada 2020 meminta Encik Nice supaya menubuhkan sebuah tribunal bebas untuk menyiasat tuduhan pencabulan hak asasi di Xinjiang. WUC mewakili kepentingan kaum Uyghur, yang kebanyakannya beragama Islam, di Xinjiang dan di merata dunia.
Sebilangan penggubal undang-undang dan parlimen asing, serta setiausaha negara AS dari pentadbiran Biden dan Trump menyifatkan tindakan terhadap kaum Uyghur sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Namun China menolak keras dakwaan tersebut.
RESPONS CHINA
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, kementerian luar China menganggap WUC sebagai sebuah pertubuhan pemisah di bawah kawalan dan pendanaan kuasa anti-China di Amerika Syarikat dan dunia Barat.
"Mahkamah pura-pura ini tiada kelayakan undang-undang atau kredibiliti," kata jurucakap kementerian, sambil menolak testimoni yang diberi sebagai palsu dan penghakiman muktamad sebagai "lawak politik yang dipersembahkan oleh beberapa badut".
"Penipuan tidak dapat menutup kebenaran, tidak dapat memperdaya masyarakat antarabangsa atau menjejas kestabilan, pembangunan dan kemakmuran Xinjiang sejak sekian lama," kata jurucakap itu mengenai tribunal Uyghur.
Pakar UN dan kumpulan hak asasi menganggarkan lebih sejuta orang, sebahagian besarnya Uyghur dan anggota kaum minoriti Muslim lain, ditahan di bawah sistem kem yang luas di Xinjiang.
China pada awalnya menafikan kewujudan kem-kem tersebut tetapi kemudian menggelarnya pusat vokasional yang ditubuhkan untuk melawan ekstremisme. Pada lewat 2019, China mengeluarkan kenyataan bahawa semua yang berada di kem-kem berkenaan sudah "tamat pendidikan".
WUC yang berpangkalan di Munich mengalu-alukan penghakiman tribunal tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.