Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China tingkatkan pemeriksaan mpox sedang Asia tingkatkan kewaspadaan susulan amaran WHO

Anggaran Waktu Membaca:
China tingkatkan pemeriksaan mpox sedang Asia tingkatkan kewaspadaan susulan amaran WHO

Para penumpang tiba di stesen kereta api Hangzhou East pada hari pertama musim sibuk menjelang Tahun Baru Cina di wilayah Zhejiang di timur China. (Gambar: STR/AFP)

SINGAPURA: Negara-negara Asia kini dalam keadaan berjaga-jaga terhadap mpox, dengan China mengumumkan bahawa ia akan mula meningkatkan pemeriksaan untuk penyakit yang mudah menular itu.

Demikian selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan "kecemasan kesihatan global".

Penyakit yang dikenali sebagai "cacar monyet" sebelum ini, boleh menular dengan cepat melalui kontak dekat.

Gejalanya termasuk demam, pening, sakit otot dan keradangan kulit seperti bisul.

Dalam pengumumannya pada Jumaat (16 Ogos), pegawai kastam China berkata selama enam bulan akan datang, mereka yang tiba di China akan diperiksa untuk gejala virus tersebut. Ini termasuk semua pesawat dan kapal, serta kontena dan barangan yang tiba dari tempat yang terjejas dengan jangkitan mpox, kata pegawai itu.

Pada 2022, China mengklasifikasikan mpox sebagai penyakit berjangkit Kelas B. Ia membenarkan pegawai untuk mengambil langkah-langkah kecemasan seperti menghalang perhimpunan, menggantung kerja dan sekolah, atau menutup sesuatu kawasan ketika berlakunya penularan.

Minggu ini, WHO mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global buat kali kedua dalam tempoh dua tahun, berikutan penularan jangkitan virus itu di Republik Demokratik Congo yang sudah merebak ke negara-negara jiran di Tengah dan Timur Afrika.
Hong Kong mencatat 13 kes mpox tahun ini, dan menyatakan bahawa ia akan terus "memantau keadaan dengan teliti" dan "meningkatkan langkah berjaga-jaga" susulan pengumuman WHO.

Kementerian Luar Jepun mengumumkan amaran kesihatan tahap satu pada Khamis (15 Ogos), dan menggesa rakyatnya yang akan melawat atau menetap di tujuh negara Afrika untuk berjaga-jaga, lapor NHK.

ASIA TENGGARA DALAM KEADAAN BERJAGA-JAGA

Menurut angka yang dikeluarkan WHO, kira-kira 100,000 kes yang disahkan sudah dilaporkan sejak 2022, serta 208 kematian.

Pada 2022, kes mpox dilaporkan di merata Asia termasuk India, Jepun dan Singapura.

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura pada Khamis menyatakan risiko kesihatan awam terhadap penularan mpox di negara ini kekal rendah, dan menambah bahawa langkah berjaga-jaga
sudah disediakan.
Malaysia, yang mencatatkan sembilan kes mpox setakat ini sejak ia dikesan buat pertama kali pada 2023, tidak melaporkan kes atau kematian baharu akibat penyakit tersebut.

Pemerintah negara-negara lain di rantau ini mengumumkan langkah berjaga-jaga tambahan berikutan pengumuman WHO.

Kementerian Kesihatan Awam Thailand menambah pemeriksaan ke atas pelawat untuk mencegah sebarang penularan mpox, lapor Bangkok Post.

Begitu juga dengan Jabatan Kesihatan Filipina, yang menyatakan pada Rabu (14 Ogos) bahawa sistem pengawasannya dalam keadaan berjaga-jaga berikutan pengumuman WHO, lapor GMA.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan