Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China tidak akan berganjak dari strategi 'dinamik sifar COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
China tidak akan berganjak dari strategi 'dinamik sifar COVID-19

(Gambar: AP/Mark Schiefelbein)

Diterbitkan : 05 Nov 2022 10:17PM Dikemas Kini : 05 Nov 2022 10:18PM
BEIJING: China tidak akan berganjak daripada dasar sifar COVID-19 dan pendekatan "pembasmian dinamik" kes penyakit itu sebaik sahaja ia muncul, menurut pegawai kesihatan China pada Sabtu (5 Nov).

China adalah ekonomi utama terakhir yang melaksanakan strategi membasmikan penularan koronavirus sebaik sahaja ia muncul dengan mengenakan sekatan pergerakan segera, ujian saringan besar-besaran dan tempoh kuarantin yang lama meskipun menyebabkan gangguan terhadap perniagaan dan rantaian bekalan antarabangsa.

Pasaran saham China meningkat pada Jumaat (4 Nov) berikutan khabar angin bahawa Beijing bersedia untuk mengumumkan perubahan ketara kepada dasar itu ataupun melakar laluan ke arah pembukaan semula sepenuhnya.

Namun, pihak berkuasa menafikan spekulasi itu.

Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China (NHC), Mi Feng mengesahkan pada Sabtu (5 Nov) bahawa Beijing akan "berpegang teguh pada ... dasar dinamik sifar COVID-19".

"Buat masa ini, China masih berdepan dengan dua ancaman iaitu jangkitan diimport dan penularan jangkitan tempatan," kata Encik Mi dalam satu sidang media.

China melaporkan 3,659 jangkitan baru pada Sabtu dengan sebilangan besar pesakit tidak bergejala, menurut NHC.

Ribuan kes tempatan yang dilaporkan pada minggu lalu membentuk sebahagian kecil daripada jumlah penduduk di negara itu, tetapi sudah cukup untuk menggerakkan pegawai supaya mengambil tindakan drastik.
Pada Khamis (3 Nov), pihak berkuasa di bandar barat laut Lanzhou meminta maaf selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia akibat keracunan karbon monoksida selepas dilarang menerima rawatan perubatan semasa sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan selama berminggu-minggu.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan