Skip to main content

Dunia

China tawar insentif kepada Taiwan susuli lawatan pengerusi Kuomintang

Anggaran Waktu Membaca:
China tawar insentif kepada Taiwan susuli lawatan pengerusi Kuomintang

Cheng Li-wun, pengerusi Kuomintang (KMT), parti pembangkang terbesar di Taiwan, menghadiri sidang media, diiringi oleh Naib Pengerusi KMT Chang Jung-kung dan Hsiao Hsu-tsen, berikutan pertemuannya dengan Presiden China Xi Jinping, di Beijing, China pada 10 April 2026. (Gambar: Reuters/Tingshu Wang)

Diterbitkan : 12 Apr 2026 01:20PM Dikemas Kini : 12 Apr 2026 01:21PM
BEIJING: China pada Ahad (12 Apr) memperkenalkan 10 langkah insentif baharu untuk Taiwan, termasuk melonggarkan sekatan pelancongan, membenarkan drama televisyen yang "sihat" dan memudahkan penjualan makanan, menyusuli lawatan ketua pembangkang pulau itu.

Langkah itu diambil pada akhir lawatan ke China oleh Cheng Li-wun, pengerusi Kuomintang (KMT), parti pembangkang terbesar di Taiwan. Beliau bertemu Presiden China Xi Jinping dan berbincang tentang keperluan untuk keamanan dan perdamaian.

Sepuluh langkah tersebut, yang diumumkan oleh agensi berita rasmi Xinhua, "meneroka" penubuhan mekanisme komunikasi tetap antara KMT dan Parti Komunis China, penyambungan semula penerbangan sepenuhnya antara kedua-dua pihak dan kebenaran untuk individu dari Shanghai dan wilayah Fujian untuk melawat Taiwan.

Satu mekanisme akan diwujudkan untuk memudahkan piawai pemeriksaan untuk produk makanan dan perikanan, tetapi ia perlu berdasarkan asas politik yang "menentang kemerdekaan Taiwan", lapor Xinhua.

Drama TV, dokumentari dan animasi terbitan Taiwan akan dibenarkan untuk ditayangkan selagi ia mempunyai "orientasi yang betul, kandungan yang sihat dan mutu penerbitan yang tinggi", tambahnya.

Tiada reaksi segera daripada pemerintah Taiwan.

China enggan berbincang dengan Presiden Taiwan Lai Ching-te, dengan menuduh beliau sebagai seorang "pemisah". Encik Lai menolak tuntutan kedaulatan Beijing ke atas pulau itu.

China dan Taiwan saling menyalahkan satu sama lain atas kekurangan penyambungan semula pelancongan China berskala besar ke pulau itu sejak berakhirnya pandemik COVID-19.

Taiwan juga sebelum ini mengadu tentang sekatan China terhadap import produk pertanian dan akuatik tertentu, dengan menyatakan bahawa China dalam beberapa kes telah menggunakan alasan yang tidak berasas untuk menghentikan penularan penyakit dan pembiakan haiwan perosak.
Sumber : Reuters/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita