Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China seru dialog adil hurai pertikaian perdagangan dengan Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
China seru dialog adil hurai pertikaian perdagangan dengan Amerika

Gambar hiasan. (Gambar: iStock)

BEIJING: Tekanan dan ugutan daripada Amerika Syarikat tidak akan menyelesaikan pertikaian perdagangan semasa antara China dan Amerika, menurut Kementerian Perdagangan China pada Khamis (10 Apr), sambil menyeru agar kembali kepada dialog yang adil.

Jurucakap Kementerian Perdagangan China, He Yongqian memberitahu sidang media bahawa walaupun China tetap terbuka untuk mengadakan perbincangan, sebarang perbincangan mesti berasaskan saling hormat-menghormati dan dijalankan atas dasar kesaksamaan, lapor Xinhua.

Jika Amerika berkeras untuk melancarkan perang dagang, China akan berjuang hingga ke akhirnya, kata jurucakap itu.

"Tekanan, ugutan dan pemerasan bukan cara yang betul untuk menangani China. Kami berharap kedua-dua negara akan bekerja ke arah menyelesaikan perbezaan melalui dialog dan rundingan, dipandu oleh prinsip saling hormat- menghormati, kewujudan bersama dengan aman dan kerjasama yang saling menguntungkan," kata Encik He.

Menekankan yang tiada pihak akan menang dalam perang dagang dan amalan perlindungan tidak membawa ke mana-mana, jurucakap itu berkata China tidak akan menerima taktik Amerika yang mengenakan tekanan maksimum dan membuli dan akan mengambil langkah tegas serta berkesan untuk mempertahankan hak dan kepentingannya.

Di tengah-tengah tentangan meluas dari dalam Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa terhadap apa yang disebut sebagai "tarif timbal balik" oleh Amerika, jurucakap itu berkata China mendesak Amerika agar menarik balik langkah tarif sepihaknya secepat mungkin.

Jurucakap itu juga menyeru Amerika untuk memperbetulkan tindakan yang tersasar dan membantu mewujudkan suasana yang kondusif untuk dialog dan rundingan.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan