China sekat eksport dron ke Amerika, kenakan sekatan terhadap 6 syarikat
China pada Rabu (5 Ogos) mengumumkan sekatan eksport dron ke Amerika Syarikat dan mengenakan sekatan terhadap enam syarikat Amerika sebagai tindak balas terhadap sekatan perdagangan Washington.
Anggota Tentera Pembebasan Rakyat memegang bendera Amerika Syarikat dan China menjelang ketibaan Presiden Amerika Donald Trump di Beijing pada 14 Mei 2026. (Gambar fail: REUTERS/Evan Vucci)
Langkah itu diambil beberapa hari selepas Amerika mengenakan tarif baharu terhadap China dan 59 negara lain, menambah kepada beberapa langkah perdagangan yang dilaksanakan baru-baru ini.
Seorang jurucakap Kementerian Perdagangan China berkata tindakan Amerika "menjejas dengan serius hak dan kepentingan sah China".
"China hanya boleh mengambil langkah tindak balas yang perlu, termasuk memperketat kawalan eksport dron serta komponen dan teknologi utamanya ke Amerika," menurut jurucakap itu.
Langkah Beijing turut merangkumi penggantungan pemeriksaan susulan kilang oleh badan pensijilan China dan menyenaraihitamkan syarikat Amerika yang menjalankan ujian pematuhan.
China juga akan menjalankan siasatan keselamatan negara terhadap import mesin pencetak dan mesin fotostat pejabat.
Selain itu, Beijing mengenakan sekatan terhadap enam syarikat Amerika, termasuk syarikat bioteknologi Applied DNA Sciences dan firma penyelidikan geosains Stratum Reservoir.
Pertubuhan dan individu di China dilarang menjalankan urus niaga, kerjasama atau kegiatan lain yang berkaitan dengan syarikat-syarikat tersebut.
Kementerian Perdagangan China mendakwa enam syarikat itu membantu dan menyokong sekatan Amerika berkaitan Xinjiang.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya jenayah terhadap kemanusiaan yang menyasarkan masyarakat minoriti Uyghur di Xinjiang.
China menafikan keras dakwaan tersebut.
Pegawai perdagangan tertinggi China He Lifeng turut menyuarakan "keprihatinan serius" mengenai sekatan terbaharu itu kepada Wakil Perdagangan Amerika Jamieson Greer menerusi panggilan telefon, menurut agensi berita Xinhua.
China minggu lalu turut menuduh Amerika cuba "menyekat" syarikat-syarikatnya selepas Washington melarang import robot humanoid dan robot berkaki empat yang dihasilkan di luar negara.
China dan Amerika terlibat dalam perang perdagangan yang semakin memuncak sepanjang sebahagian besar tahun lalu sebelum mencapai gencatan selepas Presiden Amerika Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping bertemu pada Oktober.
Namun, tarif terbaharu Amerika terhadap China dan rakan dagang lain mengancam gencatan tersebut, dengan Beijing memberi amaran kepada Washington supaya tidak mencetuskan perang perdagangan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.