Skip to main content

Dunia

China sanggup kerjasama dengan Korea Selatan jelang sidang puncak dengan Jepun: Presiden Xi

Anggaran Waktu Membaca:
China sanggup kerjasama dengan Korea Selatan jelang sidang puncak dengan Jepun: Presiden Xi

(Gambar: AFP/AFP/Marco Longari)

BEIJING: China sanggup bekerjasama dengan Korea Selatan untuk mewujudkan kerjasama strategik supaya dapat berkembang mengikut zaman.

Demikian yang dikatakan oleh Presiden China Xi Jinping kepada Perdana Menteri Korea Selatan Han Duck-soo pada Sabtu (23 Sep), di tengah-tengah ketegangan yang memuncak tentang isu Rusia, Amerika Syarikat dan Korea Utara.

Encik Xi mengadakan rundingan bersama Encik Han di bandar China, Hangzhou, sebelum upacara pembukaan Sukan Asia, lapor China Central Television (CCTV).

Komitmen terhadap kerjasama tersebut berlaku menjelang rundingan tiga pihak yang dijadualkan antara China, Jepun dengan Korea Selatan di Seoul pada 26 September. Ia merupakan sidang puncak pertama dalam empat tahun yang diwakili pegawai pemerintahan kanan.

Encik Xi memberitahu Encik Han bahawa beliau mengalu-alukan sidang puncak tersebut, yang diadakan pada waktu yang sesuai dan beliau akan secara serius mempertimbangkan untuk melawat Korea Selatan, lapor Yonhap pada Sabtu.

Kenyataan oleh pemerintah China bagaimanapun tidak menyebut tentang komen Encik Xi terhadap sidang puncak tersebut atau lawatan ke Seoul.

China menganggap kesediaan Korea Selatan terhadap kerjasama tersebut sebagai perkara yang penting, kata Encik Xi. Beliau juga meminta Korea Selatan untuk bersetuju kepada beberapa perkara untuk mengekalkan muhibah hala tuju kerjasama. Kedua-dua negara dapat melanjutkan kerjasama yang saling menguntungkan, tambahnya.

Ketegangan antara dua negara Asia Timur itu meningkat selepas lawatan seminggu pemimpin Korea Utara Kim Jong Un ke Rusia awal bulan ini, yang mencetuskan kemarahan Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan.

Korea Selatan mengenakan sekatan ke atas 10 individu dan dua entiti yang mempunyai hubungan dengan program nuklear Korea Utara dan perdagangan senjata bersama tiga negara tersebut, termasuk Rusia, menurut Menteri Luar Korea Selatan pada Khamis (21 Sep).
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita