Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China sambung semula perkhidmatan pelancongan ke luar negara

Anggaran Waktu Membaca:
China sambung semula perkhidmatan pelancongan ke luar negara

Para penumpang menuju ke tempat mendaftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing di Beijing pada 19 Januari 2023. (Gambar: Wang Zhao/AFP)

BEIJING: Notis kebenaran penyambungan semula perkhidmatan pelancongan ke luar negara yang diumumkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan China secara rasminya berkuat kuasa pada Isnin (6 Feb).

Ia sekali gus menyaksikan syarikat dan agensi pelancongan online dan fizikal tempatan menyambung semula operasi masing-masing.

Kesemua syarikat itu memulakan semula pelancongan secara berperingkat termasuk menawarkan pakej ‘tiket penerbangan + hotel’ ke 20 negara.

Pada awal pagi Isnin, satu kumpulan pelancong berkumpul di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing untuk berlepas ke Singapura.

Ketua bahagian perkhidmatan pelancongan Kumpulan Pelancongan China, Lei Haisu berkata ia merupakan kumpulan pelancongan ke luar negara mereka yang pertama sejak tiga tahun lalu.

“Kami memberi lebih perhatian kepada produk dan perkhidmatan pelancongan berdasarkan pelancongan yang sihat, selamat dan selesa,” katanya. 

Selain Beijing, hampir 50 pelancong berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun Guangzhou pada Ahad malam (5 Feb). Kumpulan itu akan berlepas keesokan hari  menuju ke Dubai, Abu Dhabi dan kawasan lain di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Terdapat hampir 160 pelancong dari enam kumpulan pelancong di Guangzhou berlepas ke luar negara pada Isnin dengan 80 peratus daripada mereka golongan pesara.

Selain itu, pelabuhan Huanggang di Shenzhen, Guangdong iaitu tempat lawatan berkumpulan dan bas penumpang yang paling kerap keluar masuk pada masa lalu, kini tidak mewajibkan pelancong untuk melaksanakan mekanisme tempahan dan hanya perlu mengisytiharkan keadaan kesihatan lebih awal serta tiada lagi had bagi kuota pelepasan kastam.
Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan