Skip to main content

Dunia

China ragu keupayaannya cerobohi Taiwan, kata Ketua CIA

Anggaran Waktu Membaca:
China ragu keupayaannya cerobohi Taiwan, kata Ketua CIA

Jet pejuang Taiwan, Mirage 200, bergerak di landasan ketika satu latihan di pangkalan udara di Hsinchu, Taiwan, pada 11 Januari 202. (Gambar: AP)

WASHINGTON: Maklumat risikan Amerika Syarikat (AS) membayangkan Presiden China Xi Jinping mengarahkan pasukan tentera negaranya untuk "bersedia menjelang 2027" bagi mencerobohi Taiwan. Ini meskipun beliau kini meragui keupayaannya untuk berbuat demikian setelah mengambil kira pengalaman Rusia berperang dengan Ukraine, kata Pengarah Agensi Perisik Pusat (CIA) William Burns.

Dalam satu wawancara yang disiarkan di televisyen pada Ahad (26 Feb), Encik Burns menekankan bahawa AS mesti memandang "amat serius" hasrat Encik Xi untuk akhirnya menguasai Taiwan sekalipun jika konflik tentera tidak dapat dielakkan.

“Kami sedia maklum, seperti yang sudah diumumkan secara terbuka, Presiden Xi sudah mengarahkan PLA, kepimpinan tentera China, untuk bersedia menjelang 2027 bagi mencerobohi Taiwan tetapi itu tidak bermakna beliau sudah membuat keputusan untuk membuat pencerobohan pada 2027 atau pada tahun lain," Encik Burns memberitahu rancangan 'Face the Nation' yang disiarkan di CBS.

Taiwan dan China berpisah pada 1949 selepas perang saudara, dengan Parti Komunis menguasai tanah besar China. Wilayah Taiwan yang ditadbir sendiri itu ibarat sebuah negara berdaulat, namun masih belum lagi diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau mana-mana negara besar.

Pada 1979, Presiden Jimmy Carter mengiktiraf secara rasmi pemerintah di Beijing dan memutuskan hubungan dengan Taiwan. Sebagai tindak balas, Kongres meluluskan Akta Hubungan Taiwan, sekali gus mewujudkan tanda aras bagi hubungan yang berterusan.

Taiwan menerima sokongan daripada Amerika dalam usahanya untuk mencapai demokrasi ketika ia berdepan dengan kekerasan yang semakin meningkat dari Beijing, yang menuntut pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Presiden Joe Biden berkata pasukan tentera Amerika akan mempertahankan Taiwan sekiranya China cuba mencerobohi wilayah itu.

Menurut Rumah Putih, dasar AS kekal tidak berubah dalam menjelaskan bahawa Washington ingin melihat status Taiwan dihuraikan secara aman damai. Ia bagaimanapun tidak menyatakan sama ada pasukan AS berkemungkinan akan dikerahkan sebagai tindak balas terhadap serangan China.

Dalam wawancaranya pada Ahad, Encik Burns berkata sokongan yang dipaparkan oleh AS serta sekutu-sekutu Eropah buat Ukraine, menyusuli pencerobohan Rusia di negara itu, mungkin boleh dianggap sebagai satu penghalang kepada pihak berkuasa China buat masa ini. Namun, beliau berkata risiko kemungkinan berlaku serangan ke atas Taiwan hanya menjadi lebih tinggi.
Sumber : AP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita