Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS, China perlu kerjasama hasilkan model baru kerjasama yang membina

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata masyarakat dunia boleh mencapai satu lagi peraturan sejagat yang stabil.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 May 2019 11:02PM Dikemas Kini : 30 May 2019 11:10PM

TOKYO: Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata masyarakat dunia boleh mencapai satu lagi peraturan sejagat yang stabil.

Berucap di Tokyo, di Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia, DPM Heng berkata dengan kebangkitan China, dunia kini memasuki satu tempoh persaingan kuasa besar.

Bagaimanapun adalah amat penting bagi setiap negara bekerjasama untuk memantapkan sistem sejagat.

Amerika Syarikat dan China perlu menghasilkan satu model baru kerjasama yang membina untuk dunia menikmati satu lagi peraturan sejagat yang stabil.

Bagaimanapun menurut DPM Heng lebih penting lagi adalah untuk Amerika Syarikat dan China membina rasa saling percaya dalam hubungan dua hala mereka.

Beliau menyifatkannya sebagai hubungan dua hala yang paling penting di dunia bagi meneruskan keamanan dan kemakmuran sejagat.

"Titik permulaannya adalah menerima hakikat baru. Amerika Syarikat perlu membuat penyesuaian terhadap kemunculan China sebagai pemain utama sejagat. Amerika perlu sedar walaupun China adalah pesaing, ia juga rakan penting yang boleh berkongsi tanggungjawab untuk memberi kebaikan kepada masyarakat antarabangsa.

"Lebih asas lagi, Amerika perlu menerima bahawa ia tidak ada pilihan lain tetapi perlu bekerjasama dengan China kerana langkah untuk cuba membendungnya akan mencetuskan akibat amat buruk. Oleh itu Amerika perlu berusaha bagi mencari keseimbangan baru dengan China," kata Encik Heng.

Bagi China pula, Encik Heng berkata ia kini perlu memikul tanggungjawab antarabangsa yang lebih besar sejajar dengan meningkatnya pengaruh negara itu dari segi strategik dan ekonomi.

Encik Heng berkata Inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera yang dipelopori China merupakan satu langkah positif ke arah itu.

DPM Heng selanjutnya berkata semua negara tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak.

Sebaliknya negara-negara mahu supaya dapat berdagang secara terbuka, bertukar-tukar teknologi dan membuat atau menerima pelaburan antara satu sama lain.

Lantaran itu Encik Heng berkata negara-negara Asia yang lain perlu meningkatkan usaha dan memikul tanggungjawab lebih besar untuk mencorakkan peraturan global.

Beliau menggesa Asia supaya menggandakan usaha untuk mengukuhkan sistem dagangan berbilang negara yang berlandaskan peraturan yang menjadi asas bagi pertumbuhannya.

Asia juga, katanya, perlu bekerjasama dengan masyarakat sejagat bagi mempertahankan sistem itu.

Sumber : CNA/MU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan