Skip to main content

Dunia

China pamer kekuatan tentera dalam perbarisan besar-besaran peringati peristiwa Perang Dunia II

China mengadakan perbarisan tentera besar-besaran di Beijing pada pagi Rabu (3 Sep) bagi memperingati ulang tahun ke-80 tamatnya Perang Dunia II, menggabungkan pertunjukan ketenteraan dan simbolisme patriotik.

Anggaran Waktu Membaca:
China pamer kekuatan tentera dalam perbarisan besar-besaran peringati peristiwa Perang Dunia II

Presiden China Xi Jinping memeriksa pasukan tentera semasa perbarisan ketenteraan bagi memperingati ulang tahun ke-80 kemenangan ke atas Jepun dan tamatnya Perang Dunia Kedua, di Dataran Tiananmen, Beijing, pada 3 September 2025. (Gambar: AFP/Pedro Pardo)

Diterbitkan : 03 Sep 2025 09:59AM Dikemas Kini : 03 Sep 2025 11:07AM
BEIJING: China mengadakan perbarisan tentera besar-besaran di Beijing pada pagi Rabu (3 Sep) bagi memperingati ulang tahun ke-80 tamatnya Perang Dunia II, menggabungkan pertunjukan ketenteraan dan simbolisme patriotik.

Barisan anggota tentera, konvoi berperisai dan jet pejuang bersedia untuk menggegarkan Dataran Tiananmen dalam persembahan yang dirancang rapi - digambarkan sebagai upacara memperingati peperangan, namun pada masa yang sama menjadi paparan bagi pemodenan ketenteraan China serta azam negara.
Kehadiran pelbagai pemimpin asing menyerlahkan pengaruh China, termasuk Presiden Rusia Vladimir Putin, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un serta beberapa tokoh dari Asia Tenggara.

Namun, pemimpin Barat sebahagian besarnya tidak menghadirkan diri menyusuli ketegangan geopolitik yang semakin meruncing.

Presiden Xi Jinping mengetuai upacara bersejarah itu di samping barisan kepimpinan tertinggi negara.

Menurut media negara, beliau akan memeriksa formasi tentera dan menyampaikan ucapan.

Perbarisan tersebut memperingati kemenangan pada 1945 ke atas Jepun dalam apa yang disebutkan China sebagai Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang AntiFasis Dunia.

China merupakan salah satu kuasa Bersekutu utama dan menanggung penderitaan sepanjang konflik global itu, yang dianggarkan meragut antara 70 hingga 85 juta nyawa di seluruh dunia.

Menurut anggaran rasmi China, lebih 35 juta rakyatnya - termasuk tentera dan orang awam - terkorban atau menjadi mangsa, menjadikannya salah satu medan Perang Dunia II yang paling berdarah.

Perundangan negara itu menetapkan 3 September sebagai “Hari Kemenangan” pada 2014, menjadikannya hari peringatan rasmi.

Ini merupakan perbarisan Hari Kemenangan kedua China, dengan yang pertama diadakan pada 2015.

Pertunjukan tentera tersebut adalah hasil persiapan selama berminggu-minggu, malah berbulan-bulan, dengan Beijing menutup kawasan-kawasan pusat bandar untuk beberapa raptai pada awal pagi, latihan formasi udara dan konvoi bagi memastikan persembahan dapat dijalankan dengan sempurna.
Pasukan tentera China berarak semasa perbarisan ketenteraan bagi memperingati ulang tahun ke-80 kemenangan ke atas Jepun dan tamatnya Perang Dunia Kedua, di Dataran Tiananmen, Beijing, pada 3 September 2025. (Gambar: AFP/Pedro Pardo)
Sebanyak 45 formasi darat dan udara akan ditampilkan, di samping pameran kelengkapan “generasi baharu” yang menekankan usaha pemodenan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA).

SENARAI TETAMU BERPROFIL TINGGI

Perbarisan Hari Kemenangan tersebut menampilkan barisan tetamu asing berprofil tinggi, yang menggariskan jangkauan diplomatik Beijing.

Antara yang paling mendapat perhatian ialah Encik Putin dari Rusia dan Encik Kim dari Korea Utara.

Beberapa pemimpin Asia Tenggara turut disenaraikan sebagai tetamu - antaranya Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, Presiden Vietnam Luong Cuong dan Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong - serta Raja Kemboja Norodom Sihamoni, Presiden Laos Thongloun Sisoulith dan ketua tentera Myanmar Min Aung Hlaing.

Presiden Indonesia Prabowo Subianto turut hadir, setelah membatalkan lawatan tersebut pada awalnya, menyusuli bantahan antipemerintah di tanah airnya.

Beliau tiba di Beijing pada awal pagi Rabu, menurut Kementerian Luar China yang mengalu-alukan kehadirannya.

Kehadiran para pemimpin Asia Tenggara pada perbarisan kali ini adalah lebih ketara berbanding 2015.

Sedekad lalu, rantau itu diwakili oleh ketua negara Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam, sementara Thailand diwakili Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Prawit Wongsuwan.

Singapura, Malaysia dan Indonesia pula menghantar utusan khas, termasuk mantan pegawai atau wakil kabinet. Brunei pula tidak tersenarai dalam senarai rasmi tetamu berpangkat tinggi.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita