Skip to main content

Dunia

China mungkin bertindak balas selepas Kongres Amerika luluskan Rang yang mungkin haramkan TikTok

Anggaran Waktu Membaca:
China mungkin bertindak balas selepas Kongres Amerika luluskan Rang yang mungkin haramkan TikTok

Gambar fail: Michael Dwyer/AP

Diterbitkan : 14 Mar 2024 06:23PM
SINGAPURA: China membangkitkan prospek bertindak balas selepas Dewan Perwakilan Amerika Syarikat meluluskan perundangan, yang boleh menyebabkan platform video pendek TikTok diharamkan di Amerika.

Para penganalisis bagaimanapun mengatakan bahawa terdapat beberapa faktor utama yang perlu dipertimbangkan Beijing dalam membuat keputusan tersebut.

"Amerika patut benar-benar menghormati prinsip pasaran ekonomi dan persaingan yang adil (serta) berhenti menindas syarikat-syarikat asing secara tidak adil," kata jurucakap kementerian perdagangan China pada sidang akhbar pada Khamis (14 Mac).

Jurucakap itu bertegas bahawa China akan "mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk melindungi haknya yang sah".
Rang Undang-Undang itu diluluskan dalam satu undian dwipartisan di Dewan Amerika itu pada Rabu, dan kini akan dibangkitkan di Senat. Ia akan memberi syarikat pemilik TikTok dari China, ByteDance masa sekitar enam bulan untuk menjual aset-aset Amerika Syarikat bagi aplikasi itu atau ia akan diharamkan.

Undian di Dewan tersebut merupakan tamparan paling serius terhadap TikTok dalam satu pertarungan politik yang masih berterusan berhubung dakwaan bahawa syarikat tersebut mampu mengumpulkan data pengguna sensitif daripada seramai 170 juta penggunanya di Amerika dan menapis kandungan secara politik.

Jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin berkata bahawa Rang Undang-Undang itu bercanggah dengan persaingan yang adil.

"Ia meletakkan Amerika di pihak bertentangan kepada prinsip persaingan yang adil dan peraturan-peraturan ekonomi dan perdagangan antarabangsa," jelas Encik Wang semasa satu taklimat media pada Khamis.

Pegawai pemerintah Amerika belum membentangkan bukti kepada khalayak umum mengenai pemerintah China menggunakan aplikasi itu untuk tujuan pemantauan atau propaganda, menurut saluran berita Amerika.

Ketua Pegawai Eksekutif TikTok Chew Shou Zi telah mengatakan bahawa TikTok akan melaksanakan hak undang-undangnya untuk mencegah pengharaman tersebut. Rang Undang-Undang itu memberikan syarikat tersebut 165 hari untuk memfailkan tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan itu selepas ia ditandatangani oleh Presiden Biden.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita