China masuk fasa baru lawan COVID-19 selepas buka semula sempadan

Para penumpang tiba di stesen kereta api Hangzhou East pada hari pertama musim sibuk menjelang Tahun Baru Cina di wilayah Zhejiang di timur China. (Gambar: STR/AFP)
BEIJING: China akhirnya memasuki "fasa baru" menentang wabak COVID-19 dengan pasaran kewangan dilaporkan semakin mengukuh selepas Beijing menamatkan kawalan sempadan akibat pandemik.
Pembukaan semula sempadan yang bermula pada Ahad (8 Jan) merupakan salah satu langkah terakhir dalam memansuhkan dasar "sifar COVID-19" China selepas tercetus bantahan besar-besaran di negara itu sejak Disember lalu.
Dasar sifar COVID-19 menyebabkan kekecewaan dalam kalangan penduduk China serta mendatangkan kerosakan teruk kepada ekonomi kedua terbesar di dunia itu.
"Hidup perlu bergerak ke hadapan! Hari ini, virus itu lemah, kita lebih kuat," tulis akhbar rasmi Parti Komunis, People's Daily memuji dasar pemerintah China menentang virus yang beralih dari "mencegah jangkitan" kepada "mencegah penyakit teruk".
Agensi berita Xinhua turut melaporkan China sudah memasuki "fasa baru" dalam usaha bertindak balas terhadap COVID-19 termasuk pelaksanaan langkah pencegahan virus, perkembangan wabak dan peningkatan tahap vaksinasi.
Dalam pada itu, langkah Beijing untuk menggugurkan syarat kuarantin dijangka akan meningkatkan perjalanan keluar rakyat dari negara itu.
Namun terdapat beberapa negara yang menuntut keputusan ujian negatif daripada pelawat dari China dalam usaha membendung wabak yang membanjiri kebanyakan hospital dan rumah mayat di China.
Secara rasmi, China hanya melaporkan sebanyak 5,272 kematian berkaitan COVID-19 setakat sehingga semalam yang menyaksikan kadar kematian terendah di negara tersebut setakat ini.
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan China tidak menyediakan laporan secara kerap mengenai skala wabak COVID-19, manakala pakar kesihatan antarabangsa menganggarkan lebih satu juta orang di negara itu berkemungkinan maut tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.