Skip to main content

Dunia

China mahu ‘perkukuh kerjasama’ dengan Amerika menerusi rundingan perdagangan

China pada Rabu (23 Jul) menyatakan bahawa pihaknya akan berusaha untuk "memperkukuh kerjasama" dengan Amerika Syarikat sempena rundingan perdagangan yang akan diadakan di Stockholm minggu depan.

Anggaran Waktu Membaca:
China mahu ‘perkukuh kerjasama’ dengan Amerika menerusi rundingan perdagangan

Naib Perdana Menteri China, He Lifeng (kanan), bersalaman dengan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent, sebelum bermesyuarat untuk membincangkan perdagangan China-Amerika Syarikat, di London pada 9 Jun 2025. (Gambar: AP/Li Ying/Xinhua)

BEIJING: China pada Rabu (23 Jul) menyatakan bahawa pihaknya akan berusaha untuk "memperkukuh kerjasama" dengan Amerika Syarikat sempena rundingan perdagangan yang akan diadakan di Stockholm minggu depan.

Washington dan Beijing sebelum ini saling mengenakan tarif timbal balik yang tinggi secara bertahap-tahap ke atas eksport masing-masing awal tahun ini — mencecah paras tiga angka — yang menjejaskan dagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu sedang ketegangan memuncak.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent, berkata pada Selasa bahawa beliau akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari China di Stockholm minggu depan bagi membincangkan isu tarif.

Pusingan ketiga rundingan peringkat tinggi itu dijangka membawa kepada penangguhan tarikh akhir pertengahan Ogos sebelum tarif kembali dinaikkan ke paras lebih tinggi, kata Encik Bessent kepada Fox Business.

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, berkata pada Rabu bahawa Beijing berharap kedua-dua pihak dapat bekerjasama “berlandaskan kesaksamaan, rasa hormat dan manfaat bersama”.

“Kami akan memperkukuh kesepakatan, mengurangkan salah faham, mempertingkat kerjasama dan memajukan pembangunan hubungan China-Amerika Syarikat yang stabil, sihat dan mampan,” katanya.

Naib Perdana Menteri China akan menghadiri rundingan di ibu kota Sweden itu.

“He Lifeng akan ke Sweden dari 27 hingga 30 Jul” bagi menyertai rundingan tersebut, menurut jurucakap kementerian perdagangan China dalam satu kenyataan pada Rabu.

Selepas pegawai kanan kedua-dua negara bertemu di Geneva pada Mei lalu, kedua-dua pihak bersetuju untuk merendahkan kadar tarif masing-masing buat sementara waktu sebagai satu langkah untuk meredakan ketegangan. Tempoh bagi pengurangan kadar tarif itu dijadual tamat bulan depan.

Para pegawai dari kedua-dua negara turut mengadakan pertemuan di London pada Jun lalu.

TARIKH AKHIR SEMAKIN HAMPIR

Encik Bessent menyatakan bahawa Washington juga ingin membincangkan pelbagai isu lain, kemungkinan termasuk pembelian minyak Iran dan Rusia oleh China.

Rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China pada awalnya tergendala selepas pertemuan mereka di Geneva, walaupun Encik Bessent berkata bahawa hubungan perdagangan negaranya kini berada dalam keadaan baik dengan Beijing.

Ketegangan sebelum ini kembali memuncak apabila pegawai Amerika Syarikat menuduh Beijing melanggar perjanjian mereka dan melengahkan kelulusan lesen eksport bagi logam nadir bumi - bahan penting dalam pembuatan barangan elektronik dan lain-lain.

Sejak itu, kedua-dua negara bersetuju dengan satu kerangka kerja untuk memajukan kesepakatan yang dicapai di Geneva.

Amerika Syarikat dilihat melonggarkan beberapa sekatan terhadap penjualan semikonduktor kepada China, manakala Beijing pula meneliti permohonan lesen eksport bagi barangan-barangan terkawal.

Sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu, Presiden Donald Trump mengenakan tarif menyeluruh sebanyak 10 peratus ke atas sekutu dan pesaing negaranya, termasuk tarif lebih tinggi terhadap keluli, aluminium dan kenderaan.

Kadar tarif menyeluruh 10 peratus itu dijangka dinaikkan untuk puluhan ekonomi lain - kecuali China - menjelang 1 Ogos, melainkan mereka mencapai persetujuan dengan Washington untuk mengelakkan perkara tersebut.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita