Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China luah rasa bimbang, tawar bantuan untuk hurai konflik India-Pakistan

Anggaran Waktu Membaca:
China luah rasa bimbang, tawar bantuan untuk hurai konflik India-Pakistan

Askar separa tentera India mengawal pusat pemeriksaan sementara di jalan raya menuju ke lapangan terbang selepas letupan kuat kedengaran di Srinagar, di wilayah Kashmir yang ditadbir India pada 10 Mei 2025. (Gambar: AP/Dar Yasin)

BEIJING: China luahkan "kebimbangan mendalam" pada Sabtu (10 Mei) tentang keadaan yang semakin meruncing antara India dengan Pakistan. 

Ia menawarkan untuk mainkan peranan yang membina demi menghuraikan perkara tersebut, menurut satu kenyataan daripada kementerian luar China.

"China memantau dengan teliti situasi semasa antara India dengan Pakistan," menurut kementerian luar negara itu dalam catatan yang disiarkan di lamannya.

“Kami menyeru India dan Pakistan kedua-duanya supaya utamakan keamanan dan kestabilan, terus bertenang, kawal perasaan, dan kembali ke jalan huraian politik melalui cara aman, serta elakkan daripada mengambil tindakan yang memburukkan lagi ketegangan,” menurut kenyataan jurucakap kementerian luar.

China kekal bersedia untuk memainkan peranan yang membina dalam perkara ini, tambah kementerian itu.

Komen Beijing seiring dengan gesaan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio pada Sabtu agar India dan Pakistan baiki komunikasi demi "mengelakkan silap langkah".

Encik Rubio berkata demikian menerusi panggilan telefon dengan diplomat utama India dan ketua tentera Pakistan secara berasingan, yang dianggap sebagai pembuat keputusan utama negara itu.

Presiden Amerika Donald Trump juga berkata pada Rabu, "jika ada apa sahaja saya boleh buat untuk bantu, saya akan datang", sambil mendakwa beliau "menjalinkan persahabatan yang muhibah" dengan India dan Pakistan.

China menjalinkan hubungan yang rapat dengan Pakistan, termasuk dari segi pertahanan, di mana ia membekalkan peralatan kepada tentera Pakistan.

Pakistan merupakan sekutu Amerika meskipun kini sudah tidak dianggap begitu penting lagi sejak Washington pada 2021 mengundurkan askarnya dari negara jiran Afghanistan. Amerika dan India juga telah merapatkan hubungan keselamatan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

Sumber : Reuters/js/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan