China lancar siasatan 'tanpa tolak ansur' susulan letupan lombong arang batu
Pasukan penyelamat berjalan melepasi sebuah ambulans menyusuli letupan di lombong arang batu Liushenyu di bandar Changzhi, daerah Qinyuan, wilayah Shanxi di utara China, pada 23 Mei 2026. (Gambar: AP/Xinhua News Agency/Cao Yang)
- Letupan di lombong arang batu Liushenyu, Shanxi pada 22 Mei menyebabkan 82 maut, dua hilang dan 128 cedera, menurut Datuk Bandar Changzhi.
- Insiden ini merupakan tragedi perlombongan terburuk di China sejak 2009, dengan operasi menyelamat melibatkan lebih 700 petugas masih diteruskan.
- Pihak berkuasa, termasuk Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang, mengarahkan siasatan menyeluruh serta tindakan tegas terhadap pelanggaran undang-undang perlombongan.
- Seorang individu bertanggungjawab dari syarikat lombong telah ditahan, dan kerajaan berikrar menghukum mereka yang bersalah serta memperketat pengawasan keselamatan lombong di seluruh negara.
“Insiden ini mengorbankan 82 nyawa. Dua lagi masih hilang dan usaha gigih mencari mangsa sedang dijalankan. Lagi 128 orang cedera dan dimasukkan ke hospital,” kata Datuk Bandar Changzhi di wilayah Shanxi, Chen Xiangyang, menurut penyiar negara CCTV.
Letupan itu merupakan bencana perlombongan paling buruk di China sejak 2009, apabila 108 orang maut dalam letupan lombong di wilayah Heilongjiang di timur laut negara itu.
Seramai 247 pekerja berada di bawah tanah ketika letupan berlaku pada pukul 7.29 malam Jumaat di lombong arang batu Liushenyu di wilayah Shanxi, menurut agensi berita Xinhua.
Daripada mereka yang dihantar mendapatkan rawatan, 33 orang sudah dibenarkan pulang. Seramai 755 petugas kecemasan dan perubatan dikerahkan ke lokasi kejadian, dengan operasi menyelamat masih diteruskan sehingga petang Sabtu, menurut CCTV.
Presiden China Xi Jinping sebelum ini menggesa pihak berkuasa supaya “berusaha sedaya upaya” merawat mangsa cedera dan menjalankan operasi mencari dan menyelamat, sambil mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap punca kemalangan.
Perdana Menteri Li Qiang turut mengulangi arahan itu dengan menggesa maklumat disampaikan secara tepat dan segera serta serta dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Pemerintah China melancarkan siasatan “tanpa tolak ansur” terhadap letupan itu dan berikrar untuk menghukum mereka yang bertanggungjawab, selain mengarahkan tindakan keras di seluruh negara terhadap kegiatan perlombongan haram, lapor Xinhua pada Sabtu malam.
“Pasukan siasatan kemalangan Majlis Negara akan menjalankan siasatan yang tegas dan tanpa tolak ansur,” kata Xinhua.
“Mereka yang didapati bertanggungjawab akan dihukum berat mengikut undang-undang dan peraturan.”
“Semua wilayah dan pihak berkuasa berkaitan dikehendaki melancarkan tindakan keras terhadap kegiatan haram dan menyalahi undang-undang,” termasuk pemalsuan data keselamatan, jumlah pekerja bawah tanah yang tidak jelas serta kontrak haram, tambah laporan itu.
Seorang individu yang “bertanggungjawab” bagi syarikat yang terlibat dalam letupan itu sudah “dikawal mengikut undang-undang”, lapor Xinhua sebelum ini.
Media negara pada mulanya melaporkan empat kematian dan puluhan pekerja terperangkap selepas tahap karbon monoksida - gas sangat berbahaya dan tidak berbau - di lombong itu didapati “melebihi had”.
Sebahagian mangsa yang terperangkap di bawah tanah dilaporkan berada dalam keadaan tenat.
Namun, angka korban meningkat mendadak sepanjang pagi.
“BAU SULFUR”
Seorang mangsa terselamat dan pelombong yang cedera, Wang Yong, memberitahu CCTV bahawa terdapat “kepulan asap” dan beliau terhidu bau sulfur.
Beliau kemudian melihat beberapa pekerja mengalami sesak nafas akibat asap sebelum pengsan.
“Saya terbaring kira-kira sejam dan sedar sendiri. Saya memanggil orang di sebelah saya dan kami keluar dari lombong bersama-sama,” kata Encik Wang menurut CCTV.
China berjaya mengurangkan kematian di lombong arang batu secara ketara sejak awal 2000an menerusi peraturan lebih ketat dan amalan keselamatan lebih baik. Namun, insiden di Liushenyu merupakan antara kemalangan lombong dengan jumlah kematian tinggi dilaporkan di China dalam tempoh sedekad lalu.
Menurut data rasmi Pentadbiran Keselamatan Lombong Nasional (NMSA), lebih 3,000 kemalangan lombong berlaku di China antara 2010 hingga 2025.
Pada bulan lalu sahaja, empat orang ditemui maut selepas bumbung di sebuah lombong arang batu runtuh, di daerah Xingxian, Shanxi. Pada 2023, runtuhan di lombong arang batu terbuka di wilayah Mongolia Dalam di utara China mengorbankan 53 orang.
Shanxi, antara wilayah termiskin di China, merupakan pusat perlombongan arang batu negara itu.
China ialah pengguna arang batu terbesar dunia dan pengeluar gas rumah hijau terbesar, meskipun ia meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui pada paras rekod.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.