Skip to main content

Dunia

China lancar rondaan pengawal pantai di timur Taiwan

Anggaran Waktu Membaca:
China lancar rondaan pengawal pantai di timur Taiwan

Sebuah miniatur tentera laut dilihat di hadapan bendera China dan Taiwan yang dipamerkan dalam ilustrasi ini yang diambil pada 11 April 2023. (Gambar Fail: Reuters/Dado Ruvic/Illustration)

Diterbitkan : 04 Jul 2026 10:13PM Dikemas Kini : 04 Jul 2026 11:11PM
BEIJING/TAIPEI: China menyatakan pada Sabtu (4 Julai) ia telah melancarkan rondaan pengawal pantai baharu di timur Taiwan, yang sekali gus mendapat tindak balas tajam daripada Taipei selepas pasukan petugas bulan lalu di luar pantai pulau itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara-negara Barat.

Tentera China beroperasi hampir setiap hari di sekitar Taiwan, yang dianggap Beijing sebagai wilayahnya sendiri. Tetapi China telah mula menggunakan pengawal pantainya untuk menguatkuasakan tuntutan wilayahnya dalam apa yang digelar Taiwan sebagai "lawfare", iaitu penggunaan undang-undang bagi mewujudkan asas perundangan untuk tindakan China.

Armada itu akan menjalankan "rondaan penguatkuasaan undang-undang" di kawasan itu, kata Pengawal Pantai China dalam satu kenyataan, sambil menambah ia akan memperkukuh rondaan sedemikian dalam apa yang digelarnya perairan bidang kuasa China.

Pengawal pantai akan "melindungi dengan tegas kedaulatan wilayah dan hak serta kepentingan maritim China", tambahnya.

RONDA KEDUA DALAM SEBULAN

Pemerintah Taiwan mengutuk rondaan baharu itu, dengan mengatakan ia adalah "peluasan kuasa haram yang melanggar undang-undang antarabangsa dan mengganggu kestabilan serantau".

Pengawal Pantai Taiwan menyatakan ia sedang menjejak dua kapal China dan mengerahkan dua kapalnya sendiri untuk belayar di sisinya dan memantau mereka.

Sehingga pertengahan pagi Sabtu, kedua-dua kapal China berada 54 batu nautika di timur Hualien, Taiwan, yang menempatkan sebuah pangkalan udara utama, tetapi di luar perairan terhad, katanya dalam satu kenyataan.

Ia menambah bahawa ia akan "terus menggunakan semua langkah yang perlu untuk mengusir kapal-kapal China yang mengganggu perairan kami" dan "memastikan keselamatan wilayah maritim kami".

Ini merupakan kali kedua dalam kira-kira sebulan di mana China, yang menganggap Taiwan yang diperintah secara demokratik sebagai wilayahnya sendiri, telah menghantar kapal pengawal pantai ke perairan di luar pantai timur Taiwan.

Ia berisiko meningkatkan pertikaian diplomatik yang telah menarik perhatian Amerika Syarikat, Perancis, Jerman dan Britain.

China berkata operasi pertama pada bulan Jun adalah sebagai tindak balas kepada pengumuman oleh Jepun dan Filipina bahawa mereka akan memulakan rundingan rasmi mengenai sempadan maritim mereka, yang dilihat oleh Beijing sebagai melibatkan perairan China di Taiwan.

Taiwan berkata pada hari Rabu bahawa kapal-kapal Taiwan di luar pantai timur harus mengabaikan sebarang tuntutan oleh Pengawal Pantai China untuk menaiki dan memeriksa kapal-kapal berkenaan, dan jika perlu, kapal Pengawal Pantai Taiwan akan campur tangan untuk menghentikannya daripada berlaku.

China tidak mengiktiraf sebarang tuntutan kedaulatan oleh Taiwan. Taiwan berkata China tidak mempunyai hak untuk menuntut sebarang kedaulatan atau bidang kuasa ke atas pulau atau perairannya.

Pada Khamis, Kementerian Sumber Asli China menerbitkan dalam bahasa Inggeris apa yang dipanggilnya sebagai "pendapat undang-undang" mengenai rundingan sempadan maritim Jepun-Filipina.

Menurutnya, kedua-dua negara sepatutnya berbincang dengan China mengenai isu itu dan tidak terlibat dengan Taiwan. "Semua negara lain hendaklah menahan diri daripada memberikan bantuan kepada Jepun dan Filipina."
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita