Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China 'kurung' penduduk Anyang, catat 58 kes baru COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
China 'kurung' penduduk Anyang, catat 58 kes baru COVID-19

Penduduk beratur untuk melalui ujian COVID-19 di bandar Anyang di wilayah Henan pada 8 Januari 2022. (Gambar: STR/AFP)

Diterbitkan : 11 Jan 2022 01:51PM Dikemas Kini : 11 Jan 2022 01:51PM

BEIJING: Sebanyak lima juta penduduk di bandar Anyang, tengah China, mula menjalani perintah berkurung di rumah pada Selasa (11 Jan) untuk membendung penularan varian koronavirus Omicron yang lebih mudah berjangkit, menurut media tempatan. 

Beijing diletakkan di bawah tahap berjaga-jaga yang tinggi bagi sebarang penularan baru COVID-19 sedang negara itu bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Olimpik Musim Sejuk bulan depan, mengekalkan strategi "sifar-COVID" dengan perintah berkurung bersasar, sekatan sempadan dan tempoh kuarantin yang panjang. 

Walaupun langkah-langkah tersebut berjaya mengawal jumlah kes baru pada paras yang rendah berbanding Amerika Syarikat dan Eropah di mana jumlah kes melambung tinggi, Beijing bergelut dengan penularan jangkitan tempatan di beberapa bandar. 

Jangkitan Omicron yang cepat merebak menimbulkan cabaran baru, dengan dua kes yang dikesan di Anyang, bandar terbaru di wilayah Henan dikenakan perintah berkurung, dikaitkan  dengan kelompok jangkitan yang meningkat di bandar raya utama utara Tianjin, yang jaraknya kira-kira 400 kilometer. 

Pihak berkuasa di Anyang mengumumkan perintah berkurung itu lewat Isnin (10 Jan), mengeluarkan notis mengarahkan penduduk untuk tidak keluar rumah atau memandu kereta mereka di jalan raya, menurut agensi berita tempatan Xinhua. 

Semua perniagaan tidak penting ditutup dan ujian COVID-19 secara besar-besaran dilancarkan "sebagai tindak balas kepada situasi teruk kawalan epidemik dan untuk mencegah penularan virus Omicron," menurut Xinhua lagi. 

58 kes baru jangkitan tempatan dilaporkan di Anyang, menurut penyiar negara CCTV pada Selasa (11 Jan), membawa jumlah kes di bandar itu kepada 84 sejak Sabtu (8 Jan). 

Namun, tidak jelas sama ada kes baru itu berkaitan dengan varian Omicron. 

Anyang sudah pun melaksanakan sekatan perjalanan ke luar bandar tersebut, bagi "memastikan penularan itu tidak menjejas kawasan-kawasan di luar", menurut pegawai tempatan. 

Sekurang-kurangnya tiga bandar di wilayah Henan sedang bergelut dengan penularan baru COVID-19, dengan ibu kota wilayah Zhengzhou menutup sekolah dan tadika, serta melarang restoran daripada menerima pelanggan yang makan di premis berkenaan. 

Minggu lepas, satu juta penduduk di bandar Yuzhou diarahkan berkurung di rumah.

Bandar pelabuhan  utama Tianjin pula, yang jaraknya 150 kilometer dari Beijing, melarang penduduk daripada meninggalkan tempat tersebut tanpa kebenaran pihak berkuasa dan mengarahkan ujian ke atas kesemua 14 juta penduduk dan membatalkan kereta api memasuki ibu kota tersebut. 

Tianjin terletak bersebelahan dengan lokasi berlangsungnya Olimpik Musim Sejuk di Beijing dan wilayah Hebei. Bandar itu mengesahkan 10 lagi kes jangkitan tempatan selepas menjalankan ujian ke atas semua penduduk di sana. 

Bandar utara Xi'an kini memasuki minggu ketiga perintah berkurung dan berusaha menangani 2,000 kes jangkitan. 

Selepas mencatatkan  beberapa kes positif koronavirus baru-baru ini, Shenzen, hab teknologi di selatan China, dekat dengan sempadan Hong Kong, baru sahaja menguatkuasakan perintah berkurung di beberapa kawasan perumahan, melancarkan inisiatif ujian COVID-19 besar-besaran dan menutup beberapa stesen bas jarak jauh. 

Sumber : AFP/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa