Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China kenakan tarif balas 15% ke atas import arang batu, LNG dari Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
 China kenakan tarif balas 15% ke atas import arang batu, LNG dari Amerika

Bendera Amerika Syarikat dan China di Diaoyutai State Guesthouse pada 26 April, 2024 di Beijing, China. (Gambar: Mark Schiefelbein / POOL / AFP)

Diterbitkan : 04 Feb 2025 04:52PM Dikemas Kini : 04 Feb 2025 04:56PM
BEIJING: Kementerian Kewangan China pada Selasa (4 Feb) mengumumkan pakej tarif ke atas pelbagai produk Amerika Syarikat (AS) sebagai tindak balas segera terhadap tarif 10 peratus yang diumumkan Presiden Donald Trump ke atas import China.

China mengenakan tarif 10 peratus ke atas minyak mentah, peralatan pertanian, kenderaan besar dan trak pikap, manakala 15 peratus akan dikenakan ke atas arang batu dan gas asli cair (LNG) dari Amerika. Langkah mengenakan tarif tambahan itu akan berkuat kuasa pada 10 Feb.

Ia berikutan tarif 10 peratus yang dikenakan ke atas semua import China mulai 12.01 tengah malam Selasa, sekali gus mempebaharui ketegangan perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Kementerian perdagangan Beijing berkata cukai ke atas import China "melanggar peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia".

Presiden Trump pada Isnin menggantung ancamannya tarif 25 peratus ke atas Mexico dan Kanada pada saat-saat akhir, setelah bersetuju menangguhkan pelaksanaan selama 30 hari sebagai balasan untuk memperketatkan penguatkuasaan sempadan bagi membanteras penghijrahan haram dan penyeludupan dadah dengan kedua-dua negara berjiran itu.

Namun, tiada pengecualian diberikan kepada China dengan cukai baharu berkuat kuasa pada 12.01 pagi (1.00 tengah hari, waktu Singapura) pada Selasa.

<<BACA: Trump tangguh tarif ke atas Mexico, Kanada selama 30 hari>>

Jurucakap Rumah Putih mengesahkan bahawa Encik Trump tidak akan berbincang dengan Presiden China Xi Jinping sehingga akhir minggu ini.

Semasa penggal pertamanya di Rumah Putih pada 2018, Encik Trump telah memulakan perang dagang yang sengit selama dua tahun dengan China berhubung lebihan perdagangan AS yang besar.

Untuk menamatkan konflik itu, China bersetuju pada 2020 untuk meningkatkan pembelian barangan Amerika sebanyak AS$200 bilion (S$272 bilion) setahun tetapi perjanjian itu tergendala akibat pandemik COVID-19. Data kastam China yang dikeluarkan bulan lepas. menunjukkan defisit tahunannya dengan Amerika meningkat kepada AS$361 bilion.

"Perang perdagangan berada di peringkat awal jadi kemungkinan tarif selanjutnya adalah tinggi," kata Oxford Economics dalam satu nota sambil menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi China.

Encik Trump turut memberi amaran bahawa beliau mungkin akan menaikkan lagi tarif ke atas China jika Beijing tidak menghentikan penghantaran fentanyl, sejenis dadah yang boleh membawa maut, ke Amerika Syarikat.

"China diharapkan akan berhenti menghantar fentanyl kepada kami, dan jika tidak, tarif akan dinaikkan lebih tinggi," katanya pada Isnin.

Beijing menolak tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa fentanyl adalah masalah dalaman Amerika.

China juga menyatakan hasrat unutk mencabar tarif baharu itu di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan mengambil tindakan balas lain, namun tidak menutup pintu rundingan dengan Washington.

Amerika merupakan sumber minyak mentah yang agak kecil untuk China, menyumbang 1.7 peratus daripada importnya tahun lepas, bernilai kira-kira AS$6 bilion. Hanya lebih 5 peratus daripada import LNG China datang dari AS.

Harga minyak mentah terus mengalami kerugian, jatuh 2 peratus selepas tindak balas China, dan saham di Hong Kong mengurangkan keuntungan. Dolar mengukuh manakala yuan China, euro, dolar Australia dan Kanada serta peso Mexico semuanya jatuh, mencerminkan kebimbangan pasaran yang semakin meningkat tentang risiko perang perdagangan global yang berlarutan.

“Tidak seperti Kanada dan Mexico, jelas lebih sukar bagi Amerika dan China untuk bersetuju dengan apa yang dituntut Trump dari segi ekonomi dan politik. Keyakinan pasaran sebelum ini mengenai perjanjian pantas masih kelihatan tidak menentu," kata Gary Ng, pakar ekonomi kanan di Natixis di Hong Kong.

"Walaupun kedua-dua negara boleh bersetuju dalam beberapa isu, tarif mungkin digunakan sebagai alat berulang, yang boleh menjadi sumber utama ketidaktentuan pasaran tahun ini."

Selain tarif, China mengumumkan siasatan terhadap gergasi teknologi Amerika Google dan menambah kumpulan fesyen AS PVH Corp - yang memiliki Tommy Hilfiger dan Calvin Klein - serta gergasi bioteknologi Illumina ke dalam senarai "entiti yang tidak boleh dipercayai".

Beijing juga melancarkan kawalan eksport baharu ke atas logam dan bahan kimia yang jarang ditemui termasuk tungsten, tellurium, bismut dan molibdenum, yang digunakan dalam pelbagai industri.
Sumber : Agensi berita/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan