China kenakan sekatan ke atas wakil AS di Taiwan

Duta Taiwan ke Amerika Syarikat (AS) Hsiao Bi-khim. (Gambar: Andrew Harnik/AP)
BEIJING: China mengenakan lebih banyak sekatan terhadap Hsiao Bi-khim, duta Taiwan ke Amerika Syarikat (AS), sekali gus melarang beliau dan anggota keluarga beliau daripada memasuki tanah besar China, Hong Kong dan Macau, lapor media China pada Jumaat (7 Apr).
Sekatan-sekatan yang diumumkan oleh Pejabat Ehwal Taiwan di China itu, turut melarang para pelabur dan syarikat berkaitan dengan Cik Hsiao daripada bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan dan individu di tanah besar, lapor Reuters.
Langkah itu ekoran pertemuan antara Presiden Taiwan Tsai Ing-wen dengan Speaker Dewan AS Kevin McCarthy sewaktu beliau menyinggah di AS pada Rabu (5 Apr).
Ogos lalu, selepas Speaker Dewan AS Nancy Pelosi mengunjungi Taiwan, China mengenakan sekatan termasuk larangan kemasukan bagi tujuh pegawai dan penggubal dasar Taiwan, termasuk Cik Hsiao, yang dituduh China sebagai "penyokong tegar kemerdekaan", sekali gus mengundang kecaman dari Taiwan.
China menganggap Taiwan sebagai wilayahnya.
Anggota lain yang disenaraikan termasuk Menteri Luar Taiwan Joseph Wu, Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Nasional Taiwan Wellington Koo dan ahli politik Parti Progresif Demoktratik Taiwan.
Sekatan yang dilaksanakan China bagaimanapun tidak memberi kesan praktikal kerana pegawai kanan Taiwan tidak melawat China, manakala mahkamah di China tiada bidang kuasa di Taiwan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.