Skip to main content

Dunia

China kecam usulan tarif baharu Amerika, sedia pertahan kepentingannya

China pada Khamis (26 Nov) menyatakan, ia berhak mengambil "langkah-langkah yang diperlukan" selepas Washington mengumumkan tarif baharu yang boleh menggugat perjanjian perdagangan yang rapuh antara kedua-dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu.

Anggaran Waktu Membaca:
China kecam usulan tarif baharu Amerika, sedia pertahan kepentingannya

Pemandangan dari udara menunjukkan kenderaan baharu yang bakal dihantar ke pasaran luar negara di sebuah pelabuhan di Lianyungang, wilayah Jiangsu, timur China, pada 24 November 2026. (Gambar: Chinatopix menerusi AP)

Diterbitkan : 26 Nov 2026 11:30PM
China condemns US proposal for new tariffs, ready to defend its interests
  • China, through Ministry of Commerce spokesman He Yadong, warned on Thursday, 26 November that it might take steps to defend its interests following Washington’s proposed new tariffs.
  • He described the justification of overcapacity as trade protectionism, which he said could disrupt supply chains, fuel inflation and harm businesses and consumers globally.
  • Tariffs of up to 20 per cent target China, the EU and Japan, as the China-US trade agreement is due to expire in January after being extended by two months.
  • China called for a resolution through dialogue. Greer said the tariffs were in line with existing understandings and that Washington was offering exemptions for US$30 billion worth of Chinese goods, while Trump and Xi are scheduled to meet in December.
Dijana oleh AI

BEIJING: China pada Khamis (26 Nov) menyatakan, ia berhak mengambil "langkah-langkah yang diperlukan" selepas Washington mengumumkan tarif baharu yang boleh menggugat perjanjian perdagangan yang rapuh antara kedua-dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu.

Dalam satu taklimat media berkala, jurucakap Kementerian Perdagangan China, He Yadong, berkata bahawa dakwaan "lebihan kapasiti pengeluaran" untuk mengenakan tarif merupakan "alasan bagi mengamalkan dasar perlindungan perdagangan".

"Tindakan sedemikian bukan sahaja gagal menangani ketidakseimbangan struktur ekonomi mereka sendiri. Malah, ia menjejas keselamatan dan kestabilan rantaian industri serta bekalan global, menghambat kerjasama perindustrian, meningkatkan inflasi global, menjejaskan kepentingan perniagaan dan pengguna secara langsung serta menimbulkan risiko sistemik jangka panjang terhadap pertumbuhan ekonomi global," kata Encik He.

"China menggesa Amerika Syarikat supaya membetulkan amalan-amalannya yang tidak wajar dan kembali menyelesaikan isu-isu menerusi dialog dan rundingan," tambah beliau.

"China akan memantau perkembangan dengan teliti dan berhak mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk mempertahankan hak dan kepentingannya yang sah."

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sejak sekian lama mengkritik lebihan dagangan China yang begitu besar dengan Amerika Syarikat, yang disifatkannya sebagai punca kemerosotan sektor pengilangan dan kehilangan pekerjaan di negaranya.

Selepas memulakan penggal kedua pada 2025, Encik Trump mengenakan tarif baharu ke atas barangan China, mencetuskan tindakan saling berbalas tarif sehingga kadarnya pernah mencecah 145 peratus.

Perjanjian perdagangan yang dipersetujui Encik Trump dan Presiden China Xi Jinping pada Oktober 2025 dijadual berakhir pada Januari, selepas kedua-dua pihak bersetuju pada September untuk melanjutkannya selama dua bulan.

Kedua-dua pemimpin itu bertemu minggu lalu di Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Shenzhen, selatan China. Mereka dijadual bertemu buat kali keempat pada Disember kelak, di Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) di Amerika Syarikat.

Tarif baharu yang diusulkan Amerika Syarikat menyasarkan beberapa rakan dagang, termasuk China, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun, dengan kadar tarif sehingga 20 peratus.

China merupakan antara negara yang berdepan kadar tarif tertinggi sebanyak 20 peratus. Bagaimanapun, Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Jamieson Greer berkata tarif baharu tersebut masih dalam lingkungan yang ditetapkan menerusi rundingan perdagangan sedia ada dengan Beijing.

"China memahami bahawa kami akan mengenakan tarif pada kadar tertentu. Ini selaras dengan persefahaman tersebut," kata beliau kepada penyiar Amerika Syarikat CNBC, sambil menambah bahawa Washington menawarkan pengecualian tarif kepada China bagi barangan bernilai sekitar AS$30 bilion (S$38.71 bilion).

Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita