China julang kejayaan skim kerja di Xinjiang sedang kritikan hak asasi makin lantang
China pada Khamis (17 Sep) memuji kejayaan skim latihan kejuruan dan pekerjaan di wilayah Xinjiang yang bergolak, hanya beberapa hari setelah pemerintah Amerika Syarikat mendakwa adanya kemudahan yang dikendalikan seperti "kem tahanan".
Gambar fail kemudahan di Xinjiang, China yang dikawal rapi (Gambar: GREG BAKER/AFP)
BEIJING: China pada Khamis (17 Sep) memuji kejayaan skim latihan kejuruan dan pekerjaan di wilayah Xinjiang yang bergolak, hanya beberapa hari setelah pemerintah Amerika Syarikat mendakwa adanya kemudahan yang dikendalikan seperti "kem tahanan".
Beijing menerima bidasan keras masyarakat antarabangsa berhubung dasarnya di Xinjiang, wilayah yang kaya dengan sumber semula jadi itu, di mana kumpulan hak asasi menyatakan sehingga sejuta penduduk Uighur dan minoriti Muslim yang lain ditahan.
Kastam Amerika Syarikat pada Isnin mengumumkan larangan ke atas sebilangan besar produk China dari Xinjiang atas kebimbangan buruh paksa, sambil berkata "minoriti agama dan etnik ... dipaksa bekerja dalam keadaan daif tanpa jalan keluar dan tanpa kebebasan".
Pemangku Timbalan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat Ken Cuccinelli memberitahu wartawan: "Ini bukan pusat kejuruan, ini adalah kem tahanan."
Namun Beijing bertegas bahawa pusat-pusat itu adalah untuk latihan kejuruan, yang diperlukan dalam usaha melawan pengganasan dan menyediakan pendidikan untuk membasmi kemiskinan.
1.29 JUTA DIBERI "SESI LATIHAN" SETAHUN DI XINJIANG SEJAK 2014
Pada Khamis, pemerintah China menerbitkan kertas putih yang dengan tegas mempertahankan dasarnya di rantau itu, di mana ia menekankan bahawa program latihan, skim kerja dan pendidikan yang lebih baik bermakna kehidupan telah bertambah baik.
Laporan itu menyatakan Xinjiang "telah melaksanakan dengan bersungguh-sungguh projek pekerjaan, meningkatkan latihan kejuruan, dan memperluas saluran dan kapasiti pekerjaan".
Ia menambah bahawa latihan kejuruan bagi berjuta-juta penduduk telah meningkatkan mutu tenaga kerja.
"Xinjiang telah membangunkan tenaga kerja besar yang berasaskan pengetahuan, berkemahiran dan inovatif, yang memenuhi keperluan era baru," tulis laporan itu.
Latihan yang dijalankan merangkumi bahasa Mandarin bertulis dan lisan, kemahiran pekerja dan memberi pengetahuan tentang kehidupan di bandar, menurut laporan itu, yang menambah bahawa penduduk luar bandar telah memulakan perniagaan atau bekerja di kilang setelah mendapat sokongan negara.
Setiap tahun dari 2014 hingga 2019, Xinjiang memberikan "sesi latihan" kepada purata 1.29 juta pekerja bandar dan luar bandar, tambahnya, sambil menekankan bahawa dasar pekerjaan "memenuhi keperluan rakyat (dan) meningkatkan kesejahteraan mereka".
Bagaimanapun, kertas putih itu memberi amaran bahawa terdapat tahap kemahiran kejuruan yang rendah dan "pengganas, pemisah dan pelampau agama" telah menggalak orang ramai supaya jangan belajar bahasa Mandarin, "menolak sains moden, dan enggan meningkatkan kemahiran kejuruan mereka".
Gergasi pakaian Sweden, H&M, mengumumkan minggu ini bahawa pihaknya menamatkan hubungannya dengan pengeluar benang China atas tuduhan "buruh paksa" di Xinjiang, yang merupakan kawasan tanaman kapas terbesar di China.
Beijing menyangkal dakwaan berlakunya buruh paksa dan dalam laporan pada Selasa menyatakan akan mengambil "tindakan tegas" terhadapnya.
Sementara itu EU telah menggesa China untuk membenarkan pemerhati bebas melakukan kunjungan ke wilayah yang dipantau ketat itu.
China minggu ini menjawab yang para pakar "dialu-alukan" tetapi tidak menyatakan sama ada mereka akan dibenarkan masuk secara bebas ke kemudahan yang terpalit kontroversi itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.