Skip to main content

Dunia

China jalankan rondaan tentera laut dan udara di sekitar Beting Scarborough yang dipertikaikan di Laut China Selatan

Anggaran Waktu Membaca:
China jalankan rondaan tentera laut dan udara di sekitar Beting Scarborough yang dipertikaikan di Laut China Selatan

Bendera China dilihat dalam ilustrasi ini yang diambil pada 30 Mei 2022. (Ilustrasi: REUTERS/Dado Ruvic)

Diterbitkan : 01 Aug 2026 06:38PM Dikemas Kini : 01 Aug 2026 06:39PM
BEIJING: Tentera China menjalankan latihan tentera udara dan laut bersama di sekitar Beting Scarborough yang dipertikaikan di Laut China Selatan, kata Markas Medan Selatan Tentera Pembebasan Rakyat dalam satu kenyataan pada Sabtu (1 Ogos).

Latihan itu diadakan di ruang udara dan perairan di sekitar kawasan beting itu, yang digelar China sebagai Huangyan Dao.

Tentera China menyifatkan latihan itu sebagai tindak balas yang perlu diambil terhadap tindakan oleh "negara-negara tertentu" yang didakwa menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau.

Ia tidak menamakan mana-mana negara, tetapi Beting Scarborough juga dituntut oleh Filipina, di mana ia dikenali sebagai Bajo de Masinloc.

Kedutaan Filipina di Beijing belum segera memberi respons kepada permintaan untuk memberi komen tentang latihan tentera China di sekitar perairan tersebut.

Latihan itu bertujuan menguji dan meningkatkan kesediaan tempur tentera China bagi mempertahankan kedaulatan wilayah dan hak maritimnya, jelas tentera China.

China mengeluarkan dasar baharu pada Sabtu untuk tadbir urus kawasan Rizab Alam Semula Jadi Pulau Huangyan - yang ditubuhkan pada September 2025 - dan berkata aktiviti memancing tanpa kebenaran, perlombongan, mengambil batu karang atau kerang gergasi, serta aktiviti berbahaya lain akan diharamkan, menurut agensi berita Xinhua.

Sesiapa yang melanggar peraturan itu akan dikenakan tindakan undang-undang, lapor Xinhua.

Pengawal Pantai China akan mengadakan rondaan tetap di sekitar kawasan rizab tersebut untuk menangani sebarang kegiatan haram, tambah Xinhua.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita