Skip to main content

Dunia

China ikrar hulur AS$100 juta bantu Palestin tangani krisis kemanusiaan di Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
China ikrar hulur AS$100 juta bantu Palestin tangani krisis kemanusiaan di Gaza
Presiden China Xi Jinping berkata dunia hari ini "jauh daripada aman", dibelenggu pertikaian dan konflik politik antarabangsa yang rumit dan berpanjangan di pelbagai rantau. (Gambar fail: Reuters/Abd Elhkeem Khaled)
Diterbitkan : 06 Dec 2025 07:22AM
  • Presiden China Xi Jinping telah menjanjikan sumbangan bantuan sebanyak AS$100 juta kepada Palestin bagi membantu menangani krisis kemanusiaan di Carikan Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
  • "China akan menyediakan AS$100 juta bantuan kepada Palestin bagi meredakan krisis kemanusiaan di Carikan Gaza serta menyokong pemulihan dan pembinaannya semula," kata Presiden Xi semasa mengadakan mesyuarat di Beijing pada Khamis (4 Dis), menurut kenyataan Kementerian Luar China.
  • "China dan Perancis akan bekerjasama bagi merealisasikan penyelesaian menyeluruh, adil dan berkekalan terhadap isu Palestin secepat mungkin," katanya lagi.
  • "China teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam memulihkan hak negara mereka yang sah dan akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi mencapai gencatan senjata penuh dan berkekalan di Carikan Gaza, meredakan situasi kemanusiaan, serta memastikan penyelesaian politik awal berdasarkan huraian dua negara," kata Lin semasa sidang media di Beijing.
Dijana oleh AI
BEIJING: Presiden China Xi Jinping telah menjanjikan sumbangan bantuan sebanyak AS$100 juta kepada Palestin bagi membantu menangani krisis kemanusiaan di Carikan Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Presiden Xi membuat pengumuman itu ketika mengadakan perbincangan dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron, yang menamatkan lawatan negara tiga hari beliau ke China pada Jumaat (5 Dis).

"China akan menyediakan AS$100 juta bantuan kepada Palestin bagi meredakan krisis kemanusiaan di Carikan Gaza serta menyokong pemulihan dan pembinaannya semula," kata Presiden Xi semasa mengadakan mesyuarat di Beijing pada Khamis (4 Dis), menurut kenyataan Kementerian Luar China.

Presiden Xi berkata dunia hari ini "jauh daripada aman" dengan pertikaian dan konflik politik antarabangsa yang rumit terus berlaku di pelbagai rantau.

"China dan Perancis akan bekerjasama bagi merealisasikan penyelesaian menyeluruh, adil dan berkekalan terhadap isu Palestin secepat mungkin," katanya lagi.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian berkata pada Jumaat (5 Dos) bahawa bantuan tersebut akan digunakan untuk kerja-kerja pembinaan semula pascakonflik bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan di Carikan Gaza dan meringankan penderitaan rakyat Palestin.

"China teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam memulihkan hak negara mereka yang sah dan akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi mencapai gencatan senjata penuh dan berkekalan di Carikan Gaza, meredakan situasi kemanusiaan, serta memastikan penyelesaian politik awal berdasarkan huraian dua negara," kata Lin semasa sidang media di Beijing.
Sumber : Bernama/AW/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita