Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China hulur dana berbilion dolar kepada Afrika; janji cipta 1 juta pekerjaan baharu

Anggaran Waktu Membaca:
BEIJING: Presiden China Xi Jinping pada Khamis (5 Sep) menjanjikan dana bernilai AS$51 bilion kepada Afrika, menyokong 30 projek prasarana di seluruh benua tersebut yang kaya dengan sumber, dan berjanji akan mewujudkan sekurang-kurangnya 1 juta pekerjaan.

Dalam ucapannya semasa Sidang Puncak Kerjasama China-Afrika, Presiden Xi berjanji kepada perwakilan daripada lebih 50 negara Afrika bahawa ekonomi China yang bernilai AS$19 trilion akan meningkatkan akses kepada pasarannya untuk perdagangan Afrika.

Forum Sidang Puncak Kerjasama China-Afrika, yang diadakan di Beijing tahun ini, menetapkan agenda tiga tahun untuk hubungan antara ekonomi kedua terbesar di dunia itu dengan benua yang paling pesat berkembang di dunia.

Berucap semasa majlis perasmian sidang puncak itu, Presiden Xi berkata China bersedia melancarkan 30 projek tenaga bersih di Afrika dan turut menyokong matlamat tenaga nuklear benua itu, di samping membantu menangani defisit tenaga yang sejak sekian lama menghalang objektif perindustrian Afrika yang lebih luas.

China juga bersedia untuk melaksanakan 30 projek ketersambungan prasarana di Afrika dan mewujudkan rangkaian China-Afrika yang akan menampilkan hubungan darat-laut dan pembangunan yang lebih terselaras, kata Presiden Xi.

"Kami bersedia membantu dalam pembangunan Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika, dan mempertingkatkan kerjasama logistik dan kewangan demi manfaat pembangunan rentas wilayah di Afrika," tambah Presiden Xi.

China akan menghulurkan 360 bilion yuan (AS$50.72 bilion) dalam bentuk bantuan kewangan kepada negara-negara Afrika, 210 bilion daripadanya akan disalurkan melalui saluran kredit dan sekurang-kurangnya 70 bilion bagi pelaburan baharu oleh syarikat-syarikat China, dengan jumlah yang lebih kecil bagi bantuan ketenteraan dan projek-projek lain, dedah Presiden Xi selanjutnya.
Sumber : Reuters/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan