Skip to main content

Dunia

China haramkan filem Winnie the Pooh selepas perbandingan dengan Presiden Xi

Watak Winnie the Pooh dijadikan sebagai bahan jenaka untuk warga China mengejek presiden mereka, Encik Xi Jinping. Pemerintah China bagaimanapun tidak menganggapnya lucu.

Anggaran Waktu Membaca:
China haramkan filem Winnie the Pooh selepas perbandingan dengan Presiden Xi

Presiden China Xi Jinping. (Gambar: REUTERS/Carlo Allegri)

Diterbitkan : 10 Aug 2018 10:47PM Dikemas Kini : 10 Aug 2018 10:50PM

CHINA: China mengharamkan filem Christopher Robin, filem terbaru yang diadaptasi daripada kisah tentang Winnie the Pooh karya AA Milne. Ini menurut Hollywood Reporter.

Watak Winnie the Pooh dijadikan sebagai bahan jenaka untuk warga China mengejek presiden mereka, Encik Xi Jinping. Pemerintah China bagaimanapun tidak menganggapnya lucu.

Ia bermula apabila Encik Xi melakukan lawatan ke Amerika Syarikat pada tahun 2013, dan gambar Encik Xi dan mantan presiden Barack Obama berjalan bersama-sama, mencetuskan perbandingan dengan watak Winnie - seolah-olah Encik Xi sedang berjalan dengan Tigger yang disamakan dengan Encik Obama yang tinggi lampai.

Encik Xi sekali lagi dibandingkan dengan watak beruang itu pada tahun 2014 semasa pertemuan dengan perdana menteri Jepun Shinzo Abe, yang dibandingkan dengan keldai, Eeyore.

Disebabkan perbandingan yang semakin tersebar secara online, pihak China mula memadamkan gambar-gambar yang mengejek Encik Xi. Laman stesen televisyen Amerika Syarikat, HBO disekat bulan lalu selepas pelawak John Oliver berulang kali membandingkan watak Winnie dengan presiden China. Segmen itu juga membincangkan rekod hak asasi manusia China yang buruk.

Satu lagi perbandingan antara Encik Xi dengan Winnie adalah semasa perbarisan tentera pada tahun 2015 menjadikannya gambar yang paling ditapis tahun itu, menurut Global Insight Risks. Firma itu menyatakan bahawa pemerintah China menganggap gambar itu sebagai "usaha serius untuk menjejas maruah pejabat presiden dan Encik Xi".

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita