Skip to main content

Dunia

China gesa Filipina kawal ahli politik yang langgar 'garis merah' Beijing

Menteri Ehwal Luar China, Wang Yi, menggesa Filipina supaya mengawal ahli politiknya yang didakwa berulang kali memburukkan Beijing dan melanggar 'garis merah' China. Gesaan itu dibuat pada Selasa (3 Nov), ketika ketegangan antara kedua-dua negara semakin meningkat susuli beberapa insiden diplomatik sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
China gesa Filipina kawal ahli politik yang langgar 'garis merah' Beijing

Menteri Ehwal Luar China, Wang Yi, semasa sidang media bersama rakan sejawatannya dari Bulgaria di Sofia pada Isnin (19 Okt 2026). (Gambar: AFP/Nikolay Doychinov)

Diterbitkan : 04 Nov 2026 08:48AM
China urges the Philippines to rein in politicians who cross Beijing’s ‘red line’
  • On Nov 3, Chinese Foreign Minister Wang Yi asked his Philippine counterpart, Theresa Lazaro, to rein in politicians who he alleged had attacked Beijing and crossed its red line.
  • Wang linked their actions to political prejudice and personal interests, and called for tighter oversight and a rational stance towards China from the Philippines, but did not name the politicians involved.
  • Lazaro described the conversation as frank and constructive. Both sides stressed diplomatic dialogue and managing differences with mutual respect as tensions rise.
  • Tensions are set against overlapping claims in the South China Sea, incidents in disputed waters, a dispute over a regional meeting in the Philippines and controversy over remarks by the Chinese Ambassador. An international tribunal had previously rejected the legal basis for Beijing’s claims.
Dijana oleh AI

BEIJING: Menteri Ehwal Luar China, Wang Yi, menggesa Filipina supaya mengawal ahli politiknya yang didakwa berulang kali memburukkan Beijing dan melanggar 'garis merah' China.

Gesaan itu dibuat pada Selasa (3 Nov), ketika ketegangan antara kedua-dua negara semakin meningkat susuli beberapa insiden diplomatik sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

China dan Filipina sudah sekian lama bertelagah mengenai tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

Dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatannya dari Filipina, Theresa Lazaro, Encik Wang berkata hubungan dua hala kini menghadapi campur tangan berniat jahat, menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar China.

Beliau mendakwa segelintir ahli politik Filipina berulang kali menyerang dan memburukkan China atas dasar prasangka politik serta kepentingan peribadi sehingga melanggar batas yang ditetapkan Beijing.

Bagaimanapun, Encik Wang tidak memberikan butiran khusus mengenai individu yang dimaksudkan.

Beliau turut menggesa Manila supaya memperketat pengawasan terhadap individu berkenaan dan menyampaikan pendirian yang rasional serta sehaluan dalam dasar negara itu terhadap China.

Sementara itu, Cik Lazaro menyifatkan perbualan tersebut sebagai berterus terang dan membina.

Dalam catatan media sosial, beliau berkata kedua-dua pihak menekankan kepentingan meneruskan dialog diplomatik dan menguruskan perbezaan pendapat berdasarkan sikap saling menghormati.

Minggu lalu, Beijing menuduh Manila mengenakan pelbagai halangan terhadap penyertaannya dalam satu mesyuarat serantau di Filipina.

Bagaimanapun, dakwaan itu ditolak oleh ketua pertahanan Filipina.

Terdahulu pada Oktober, Kementerian Ehwal Luar Filipina memanggil Duta China selepas beliau mendakwa Beijing akan mudah memenangi sebarang konflik antara kedua-dua negara.

Kenyataan itu mendorong beberapa senator Filipina menggesa supaya duta berkenaan diusir.

Filipina, yang merupakan sekutu Amerika Syarikat, sudah bertahun-tahun berdepan pertikaian dengan China berhubung kawasan yang menjadi rebutan di Laut China Selatan.

Beberapa insiden turut berlaku di perairan yang dipertikaikan itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Beijing menuntut hak ke atas sebahagian besar laluan perairan strategik tersebut, meskipun keputusan tribunal antarabangsa sebelum ini mendapati tuntutan itu tidak mempunyai asas undang-undang.

Sumber : AFP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita