China gantung perjanjian ekstradisi Hong Kong dengan New Zealand
China pada Isnin (3 Ogos) menggantung perjanjian ekstradisi Hong Kong dengan New Zealand ketika negara Barat membantah undang-undang keselamatan baru yang ketat dikenakan negara itu terhadap bandar tersebut.
Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin. (Gambar: AFP)
BEIJING: China pada Isnin (3 Ogos) menggantung perjanjian ekstradisi Hong Kong dengan New Zealand ketika negara Barat membantah undang-undang keselamatan baru yang ketat dikenakan negara itu terhadap bandar tersebut.
New Zealand adalah negara terbaru menyertai beberapa kuasa Barat termasuk Kanada, Britain, Australia dan Jerman, yang menggantung perjanjian ekstradisi dengan Hong Kong sejak undang-undang mencetus kontroversi itu diperkenalkan pada lewat Jun.
China sudahpun bertindak balas dengan menggantung perjanjian ekstradisi Hong Kong dengan Kanada, Britain dan Australia.
"Amalan di New Zealand... amat mengganggu urusan ehwal dalam negeri China," kata jurucakap Kementerian Ehwal Luar, Wang Wenbin, ketika mengumumkan keputusan Beijing menggantung sebarang kerjasama kehakiman dengan Wellington.
Para pengkritik berkata, undang-undang keselamatan baru itu akan menghakis kebebasan sivil dan hak asasi manusia dinikmati para penduduk di bandar bekas jajahan Britain yang dikembalikan ke China, pada 1997.
New Zealand juga telah mengetatkan sekatan ketenteraan dan eksport dua hala ke Hong Kong.
Nasihat perjalanan terbaru terhadap warga New Zealand di wilayah itu menyatakan undang-undang keselamatan itu meningkatkan risiko penahanan bagi kegiatan seperti bantahan dan terdapat kemungkinan dipindahkan ke tanah besar China untuk menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Amerika Syarikat telah memutuskan untuk membatalkan hak perdagangan khas Hong Kong selepas undang-undang baru itu digubal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.