Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China, Filipina setuju huraikan pertikaian 'secara aman', tingkatkan kerjasama

Anggaran Waktu Membaca:
China, Filipina setuju huraikan pertikaian 'secara aman', tingkatkan kerjasama

(Gambar: PHILIPPINES'S OFFICE OF THE PRESS SECRETARY / AFP)

Diterbitkan : 05 Jan 2023 01:55PM Dikemas Kini : 05 Jan 2023 03:19PM
BEIJING: China dan Filipina dalam satu kenyataan bersama pada Khamis (5 Jan) mengumumkan bersetuju untuk mengadakan sebuah saluran perhubungan langsung antara Kementerian Luar kedua-dua negara berhubung Laut China Selatan untuk menghuraikan pertikaian secara aman.

Kenyataan bersama itu, yang mengandungi 14 perjanjian yang bertujuan untuk meredakan ketegangan keselamatan dan meningkatkan kerjasama ekonomi, dikeluarkan ketika kedua-dua negara berusaha untuk memperbaiki hubungan tegang selepas Filipina meminta keputusan timbang tara 2016 yang membatalkan tuntutan meluas China di Laut China Selatan.

Filipina sebelum ini membangkitkan keprihatinan berhubung aktiviti pembinaan China yang dilaporkan serta kehadiran kapal-kapal Beijing di perairan yang dipertikaikan di Laut China Selatan, iaitu sebuah kawasan yang kaya dengan sumber minyak, gas dan perikanan.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr bertemu dengan Presiden China Xi Jinping di Beijing pada Rabu (4 Jan), kedua-dua pemimpin itu mengesahkan bahawa negara mereka akan menghormati kedaulatan dan integriti wilayah satu sama lain.

Mereka juga bersetuju untuk menyambung semula perbincangan mengenai penerokaan minyak dan gas di Laut China Selatan selain membincangkan kerjasama dalam bidang-bidang termasuk solar, angin, kenderaan elektrik dan tenaga nuklear.

Pengawal pantai dari China dan Filipina juga akan bertemu "secepat mungkin" untuk membincangkan "kerjasama pragmatik".

Kedua-dua negara akan mempertimbangkan untuk memaklumkan satu sama lain apabila melancarkan roket dan bekerjasama dalam mendapatkan serpihan roket, tambah kenyataan itu lanjut.

Kedua-dua negara mengesahkan kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan serta kebebasan mengemudi dan membuat lintas terbang di Laut China Selatan. Ini di samping mengadakan dialog tahunan mengenai keselamatan, menurut kenyataan tersebut.

Dari segi kerjasama ekonomi, China bersetuju untuk membenarkan lebih banyak import Filipina dengan matlamat untuk mencatat perdagangan dua hala yang kembali kepada atau mengatasi tahap sebelum pandemik.

Kedua-dua pihak juga berikrar untuk meningkatkan jumlah pelancong dan penerbangan antara kedua-dua ibu kota ke tahap sebelum pandemik.

Kenyataan bersama itu juga menyatakan kedua-dua negara akan bekerjasama dalam pemerolehan vaksin.

China adalah antara pengeksport utama vaksin COVID-19 di dunia.

Lawatan Encik Marcos ke Beijing selama tiga hari menyusuli pembukaan semula sempadan China sejak pandemik melanda pada 2020, yang menjejas teruk perdagangan dan ekonomi negara itu.

Kedua-dua pihak juga memperbaharui perjanjian mengenai Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China iaitu strategi utama Encik Xi berhubung pelaburan prasarana luar negara.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan