Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China buka semula sempadan selepas 3 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
ANKARA: China membuka semula sempadannya pada Ahad (8 Jan) selepas tiga tahun sekatan yang dilaksanakan berikutan pandemik COVID-19.
Pada 26 Disember lalu, Suruhanjaya Kesihatan Nasional China mengumumkan tahap COVID-19 diturunkan daripada Kelas A kepada Kelas B.

COVID-19 sudah ditukar daripada koronavirus baru pneumonia (pneumonia novel coronavirus) kepada jangkitan baru koronavirus (novel coronavirus infection), lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan suruhanjaya kesihatan itu.

Selain itu, China tidak akan mengenakan kuarantin ke atas mereka yang memasuki negaranya dan pesakit COVID-19 selain menarik balik dasar ketat "sifar-COVID-19".

Bagaimanapun, negara itu menghadapi peningkatan kes COVID-19 sejak minggu-minggu kebelakangan ini.

Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Itali, Sepanyol, Perancis, Maghribi, Qatar, Kanada, Greece, Malaysia, Finland dan Belanda sudah mengumumkan mengenai syarat hasil negatif ujian COVID-19 bagi mereka yang tiba dari China.

Sementara itu, Jerman pada Sabtu (7 Jan) menasihatkan rakyatnya supaya tidak melakukan perjalanan yang tidak penting ke China dan mengklasifikasikan negara itu sebagai "kawasan ancaman varian virus” disebabkan gelombang COVID-19 yang sedang melandanya.

China pada Jumaat (6 Jan) menyatakan bahawa keadaan COVID-19 di negara itu terkawal dan banyak negara anggota EU mengalu-alukan kedatangan pelancong China.

Mengulas mengenai peraturan yang dikenakan sesetengah negara terhadap pelancong yang datang dari China, jurucakap Kementerian Luar Mao Ning berkata semua langkah tindak balas terhadap COVID-19 harus berdasarkan sains dan fakta serta setara.

"Seharusnya tidak ada percubaan untuk mempolitikkan isu itu atau mengamalkan amalan diskriminasi yang boleh menjejaskan hubungan antara rakyat," kata Encik Mao kepada wartawan.

Beliau berkata pakar China turut menghadiri taklimat online Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memberikan maklumat terkini mengenai pandemik itu.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan