Skip to main content

Dunia

China buka semula jalan ke zon bencana Tibet, operasi mencari mangsa dipergiat

Anggaran Waktu Membaca:
China buka semula jalan ke zon bencana Tibet, operasi mencari mangsa dipergiat

Jentera pengorek dan peralatan menyelamat di kawasan terjejas yang dilanda bencana di Pelabuhan Gyirong menyusuli tanah runtuh pada 26 Ogos, di Shigatse, Wilayah Autonomi Tibet, China, pada 1 Sep 2026. (Gambar: cnsphoto menerusi Reuters)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 04:30PM
BEIJING: China membuka semula sepenuhnya satu-satunya jalan menuju ke lintasan sempadan Gyirong ke Nepal, seminggu selepas laluan itu musnah akibat banjir besar.

Pembukaan semula jalan tersebut membolehkan jentera berat memasuki zon terjejas bencana buat kali pertama.

Pasukan penyelamat bekerja tanpa henti untuk membaiki Lebuh Raya Nasional G216 selepas aliran puing menghanyutkan beberapa bahagian jalan itu.

Ia berlaku selepas keruntuhan glasier mencetuskan tanah runtuh dan banjir menerusi sistem sungai di kedua-dua belah sempadan China-Nepal pada 26 Ogos.

Sebelum jalan itu dibuka semula pada Rabu (2 Sep), China menghantar peralatan dan bekalan dari udara kepada pasukan penyelamat di barisan hadapan, manakala para anggota tentera menggunakan peralatan pengesan hidupan untuk mencari mangsa yang hilang, menurut penyiar pemerintah CCTV.
Related article image
Pasukan penyelamat menggunakan jentera pengorek untuk membaiki jalan menuju ke Pelabuhan Gyirong selepas tanah runtuh di Shigatse, Wilayah Autonomi Tibet, China, pada 30 Ogos 2026. (Gambar: China Daily menerusi Reuters)
HUJAN, MUKA BUMI SUKARKAN OPERASI

Usaha membaiki jalan terjejas akibat hujan berterusan dan keadaan muka bumi yang mencabar.

Pasukan itu terpaksa bekerja di sebuah gaung pergunungan yang sempit, di antara tebing yang tidak stabil dengan sungai yang mengalir deras.

Pihak berkuasa turut memantau tasik-tasik di kawasan hulu yang sebelum ini dikhuatiri boleh mencetuskan banjir sekiranya pecah.

Risiko daripada tasik berkenaan kini berkurangan, namun ancaman tanah runtuh masih membimbangkan, menurut pihak berkuasa China.

CCTV melaporkan "sejumlah besar" jentera berat kini sudah tiba di tapak kompleks pemeriksaan sempadan China yang musnah, bersama peralatan untuk memperkukuh operasi mencari mangsa.
Related article image
Anggota bomba dan anjing pengesan menjalankan operasi mencari mangsa hilang di sepanjang jalan menuju ke Pelabuhan Gyirong selepas tanah runtuh di Shigatse, Wilayah Autonomi Tibet, China, pada 30 Ogos 2026. (Gambar: cnsphoto menerusi Reuters)
Beberapa pasukan penyelamat dan jentera pengorek kini menjalankan operasi intensif untuk mencari mangsa yang masih hilang.

Pasukan yang dilengkapi alat pengesan hidupan dan anjing pengesan dikerahkan ke bahagian lintasan sempadan yang paling teruk terjejas, selain tebing sungai, lurah dan laluan jalan raya yang rosak.

China melaporkan pada Ahad (30 Ogos) 546 orang masih hilang di Tibet, termasuk 261 warga asing dari 23 negara, manakala 16 orang dilaporkan terkorban.

Jumlah korban di Nepal pula melepasi 1,000 orang pada Rabu (2 Sep).
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita