China berusaha sesuaikan dasar sifar COVID-19 supaya lebih tertumpu

Orang ramai beratur panjang di pusat ujian asid nukleik yang masih dibuka di Beijing pada 3 Disember 2022. (Gambar: Jade Gao/AFP)
BEIJING: Lebih banyak bandar di China pada Ahad (4 Dis) mengumumkan bahawa sekatan-sekatan koronavirus akan dilonggarkan.
Ini sedang negara itu berusaha untuk menyesuaikan dasar sifar COVID supaya ia lebih tertumpu dan mengurangkan gangguan kepada para penduduk, lapor Reuters.
China mencatatkan lebih 31,000 kes harian COVID-19 pada Ahad, kurang sedikit daripada 33,000 kes sehari sebelumnya.
Jumlah pusat ujian COVID-19 di ibu kota Beijing sudahpun dikurangkan setelah pihak berkuasa menutup beberapa pusat.
Ini menyebabkan orang ramai beratur panjang di tempat-tempat ujian yang masih dibuka.
Reaksi penduduk terhadap pelonggaran larangan COVID-19 di China adalah bercampur-campur.
Ramai penduduk melahirkan kekecewaan mereka terhadap syarat hasil ujian COVID-19 untuk memasuki sesetengah tempat.
Namun, kebanyakan penduduk menaruh harapan dengan perubahan pada dasar sifar COVID di China.
Sementara itu, Beijing menetapkan sasaran tinggi untuk memberi suntikan vaksin kepada lebih ramai warga emas, sebagai sebahagian usaha ke arah pembukaan semula sempadan China dan memacu ekonomi negara.
Antara sasarannya adalah untuk memvaksin lebih 90 peratus penduduk berusia 80 tahun dan ke atas dengan sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang akhir bulan depan.
Seramai 36 juta penduduk berada dalam golongan usia tersebut, namun hanya 77 peratus daripada mereka sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.