Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China bertekad cegah penularan besar COVID-19 jelang Tahun Baru Cina

Anggaran Waktu Membaca:
China bertekad cegah penularan besar COVID-19 jelang Tahun Baru Cina

(Gambar: AFP/Hector Retamal)

BEIJING: China bertekad untuk mengurangkan kemungkinan berlaku penularan COVID-19 secara besar-besaran menjelang sambutan Tahun Baru Cina pada bulan ini.

Ini selepas China memansuhkan sebahagian besar langkah-langkah membendung pandemik tersebut.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan China menggesa para penduduk supaya mengurangkan perjalanan dan perhimpunan, terutama sekali jika ia melibatkan warga emas, wanita hamil, kanak-kanak kecil dan mereka dengan masalah kesihatan yang membimbangkan.

Mereka yang menggunakan pengangkutan awam turut dinasihatkan supaya memakai pelitup dan menumpukan perhatian kepada kesihatan dan kebersihan diri.

Demikian menurut Naib Menteri Xu Chengguang.

Seruan itu bagaimanapun tidak menggesa para penduduk supaya duduk di rumah sepenuhnya, seperti yang pernah dikuatkuasakan oleh pemerintah sejak pandemik melanda.

Sekalipun demikian, sesetengah pemerintah tempatan menggesa para pekerja hijrahansupaya jangan pulang ke tanah air masing-masing buat sementara waktu.

Pada Ahad (8 Jan), China akan memansuhkan syarat kuarantin wajib terhadap para pelawat yang tiba dari luar negara.

Penularan terkini nampaknya merebak dengan pantas di bandar-bandar yang padat dengan penduduk, sekali gus membebankan sistem jagaan kesihatan.

Ini mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa terhadap kemungkinan koronavirus akan menular ke bandar-bandar kecil dan kawasan luar bandar yang kekurangan sumber seperti katil rawatan intensif.

Jumlah negara yang menguatkuasakan syarat ujian wajib COVID-19 terhadap para pelawat dari China juga semakin meningkat. Negara-negara itu menyifatkan langkah tersebut diperlukan kerana pemerintah China tidak berkongsi maklumat yang mencukupi tentang penularan COVID-19, khususnya tentang potensi kemunculan varian-varian baru.


Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) pada Rabu (4 Jan) "amat menggalak" negara-negara anggota untuk menguatkuasakan syarat ujian COVID-19 sebelum para pelawat dari China melakukan perjalanan ke negara-negara Eropah, memandangkan tidak semua negara memutuskan untuk berbuat demikian setakat ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyuarakan keprihatinan terhadap kekurangan data dari China.
 
Sumber : AGENCIES/SS/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan