Skip to main content

Dunia

China beri amaran kepada penunjuk perasaan HK agar 'jangan bermain api'

China memberi amaran paling tegas setakat ini kepada para penunjuk perasaan di Hong Kong.

Anggaran Waktu Membaca:
China beri amaran kepada penunjuk perasaan HK agar 'jangan bermain api'
Diterbitkan : 06 Aug 2019 09:26PM Dikemas Kini : 06 Aug 2019 09:31PM

BEIJING: China memberi amaran paling tegas setakat ini kepada para penunjuk perasaan di Hong Kong.

Dalam taklimat media petang tadi (6 Ogos) di Beijing, jurucakap Pejabat Majlis Negara China mengenai Ehwal Hong Kong dan Macau mengingatkan para penunjuk perasaan supaya tidak meremehkan kekuatan pemerintah Beijing.

Ini merupakan taklimat media kedua yang diadakan Pejabat itu dalam masa dua minggu mengenai pergolakan di Hong Kong yang sudah berlarutan selama sembilan minggu.

Sambil menggunakan kiasan, jurucakapnya, Yang Guang memberi amaran kepada para penunjuk perasaan supaya "jangan bermain api kerana ia akan membakar diri sendiri".

Encik Yang berkata "bantahan radikal menjejas hebat kemakmuran dan kemantapan Hong Kong dan mendorong bandar itu ke jurang yang berbahaya".

Beliau menambah bahawa pemerintah Beijing masih memberi sokongan padu kepada pasukan polis Hong Kong serta Ketua Eksekutif wilayah separuh autonomi China itu, Carrie Lam.

Dalam amaran kerasnya kepada "penjenayah-penjenayah" di sebalik rusuhan yang berlaku di Hong Kong pula, Encik Yang berkata jangan menganggap kesabaran China sebagai satu kelemahan.

Beijing, tegasnya, bertekad dan mempunyai kekuatan untuk menangani pergolakan di Hong Kong.

Menjawab pertanyaan, Encik Yang berkata Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) merupakan sebuah pasukan yang kuat dan akan mempertahankan setiap wilayah China.

Namun Encik Yang menambah, Beijing percaya pihak berkuasa Hong Kong berupaya menangani pergolakan yang berlaku.

Sumber : AFP/MU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita