Skip to main content

Dunia

China beri amaran kepada media asing di Hong Kong berhubung liputan kebakaran

Anggaran Waktu Membaca:
China beri amaran kepada media asing di Hong Kong berhubung liputan kebakaran
Sekumpulan burung bangau berterbangan berdekatan bangunan yang terbakar di kompleks perumahan Wang Fuk Court di Tai Po, Hong Kong, China pada 30 November 2025. (Gambar fail: Reuters/Maxim Shemetov)
Diterbitkan : 07 Dec 2025 03:38PM Dikemas Kini : 07 Dec 2025 03:40PM
HONG KONG: Pejabat keselamatan negara China di Hong Kong memberi amaran kepada media asing pada Sabtu (6 Dis) supaya jangan menyebarkan "maklumat palsu" atau "mencemar" usaha pemerintah untuk menangani kebakaran terburuk di bandar itu dalam hampir 80 tahun.

Menjelang pilihan raya majlis perundangan pada Ahad (7 Dis) di hab kewangan global itu, Pejabat Perlindungan Keselamatan Negara menyatakan ia sudah menghubungi beberapa agensi media asing yang tidak dinyatakan, yang mengkritik liputan kebakaran yang mengorbankan sekurang-kurangnya 159 orang di kompleks kediaman tinggi Wang Fuk Court.

Reuters tidak dihubungi mengenai mesyuarat itu dan tidak menyertai.

"Beberapa media asing baru-baru ini melaporkan bahawa Hong Kong mengabaikan fakta, menyebarkan maklumat palsu, mencemar usaha bantuan bencana dan kerja-kerja susulan pemerintah, menyerang dan mengganggu pilihan raya Majlis Perundangan, lantas mencetuskan perpecahan sosial dan tentangan," menurut kenyataan itu.

Pejabat itu menyatakan ia mengadakan mesyuarat tersebut selaras dengan undang-undang keselamatan negara yang dikenakan Beijing ke atas wilayah bekas jajahan British itu pada tahun 2020 itu susuli bantahan pro-demokrasi besar-besaran.

Undang-undang itu menyatakan bahawa pejabat berkenaan boleh "mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memperkukuh pengurusan" entiti asing, termasuk agensi berita.

Mesyuarat pada Sabtu itu dilaporkan seperti perhimpunan media asing beramai-ramai yang pertama menghadapi kritikan atas liputan mereka terhadap acara tertentu oleh pejabat ters, yang diketuai oleh pegawai kanan Kementerian Keselamatan Negara China.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita