Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China bekerjasama dengan Indonesia bina pusat pengeluaran vaksin serantau

China akan terus bekerjasama dengan Indonesia dalam rantaian industri vaksin COVID-19 serta kajian dan pengembangan (R&D) ubat-ubatan bagi membantu Indonesia membina pusat pengeluaran vaksin serantau.
 

Anggaran Waktu Membaca:
China bekerjasama dengan Indonesia bina pusat pengeluaran vaksin serantau

Seorang kakitangan kesihatan di Quezon City, Filipina, sedang bawa bebuli kosong vaksin COVID-19 pada 13 Sep 2021. (Gambar hiasan: AP/Aaron Favila)

Diterbitkan : 12 Jan 2022 09:24PM Dikemas Kini : 12 Jan 2022 09:24PM

BEIJING: China akan terus bekerjasama dengan Indonesia dalam rantaian industri vaksin COVID-19 serta kajian dan pengembangan (R&D) ubat-ubatan bagi membantu Indonesia membina pusat pengeluaran vaksin serantau.

Presiden China Xi Jinping berkata demikian pada Selasa (11 Jan) menerusi perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Joko Widodo.

Sementara itu, beliau turut menyarankan agar kedua-dua negara merealisasikan pembangunan bersama di samping menjadi teladan dalam kerjasama pragmatik.

Usaha sama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) perlu diintegrasikan dengan pembentukan paradigma pembangunan baru China serta pelan pembangunan jangka panjang dan sederhana Indonesia bagi memacu kerjasama pasca pandemik, katanya.

"Kerjasama antara dua pihak juga perlu dipergiat untuk membina landasan kereta api kelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung yang bermutu tinggi di samping menjayakan program utama seperti Koridor Ekonomi Komprehensif Serantau dan 'Dua Negara, Dua Taman'," ujar Encik Xi.

Beliau berkata China dan Indonesia masing-masing menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi BRICS dan Kumpulan Negara Ekonomi Besar 20 (G20) pada tahun ini. 

China sedia bekerjasama dengan Indonesia dalam mengamalkan kerjasama berbilang hala sebenar, melaksanakan inisiatif pembangunan global serta memelihara kepentingan negara pasaran baru dan negara membangun.

Sementara itu, Encik Joko Widodo berkata Indonesia dan China sudahpun menyaksikan peningkatan perdagangan dan pelaburan dua hala yang pesat pada tahun lalu.

Kerjasama dalam bidang perubatan turut membuahkan hasil yang memberangsangkan terutama dalam pengeluaran vaksin COVID-19 dan R&D ubat-ubatan. Kini, sebanyak 80 peratus vaksin Indonesia berasal dari China.

Indonesia bersedia memperkasa kerjasama dengan China dalam bidang ekonomi, perdagangan dan usaha melawan pandemik.

Beliau turut mengalu-alukan pelaburan syarikat China serta menjalankan kerjasama dalam bidang teknologi tinggi dan pembangunan hijau.

Sumber : Bernama/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa