Skip to main content

Dunia

China, Amerika mulakan rundingan dagang baharu di London

China dan Amerika Syarikat memulakan rundingan perdagangan baharu di London pada Isnin (9 Jun), lapor media rasmi di Beijing.

Anggaran Waktu Membaca:
China, Amerika mulakan rundingan dagang baharu di London

Pemandangan yang menunjukkan kapal-kapal yang sedang dibina di Limbungan Kapal Shanghai di Shanghai, China, pada Ahad, 20 April 2025. (Chinatopix melalui AP)

LONDON: China dan Amerika Syarikat memulakan rundingan perdagangan baharu di London pada Isnin (9 Jun), lapor media rasmi di Beijing.

Ini sedang kedua-dua ekonomi terbesar di dunia berusaha mengukuhkan gencatan senjata yang goyah selepas ia terjejas oleh tarif balas.

Kedua-dua pihak mengadakan pertemuan di Lancaster House, dikendalikan oleh Pejabat Luar UK, menyusuli rundingan pusingan pertama di Geneva pada bulan lalu.

Naib Perdana Menteri China He Lifeng sekali lagi memimpin pasukan itu di London.

Agensi berita rasmi China Xinhua melaporkan permulaan rundingan itu.

Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent, Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan Jamieson Greer memimpin delegasi Amerika, kata Presiden Donald Trump pada Jumaat (6 Jun).

"Mesyuarat itu dijangka berjalan lancar," kata Encik Trump dalam catatan di platform Truth Social.

Setiausaha Akhbar Presiden Trump, Karoline Leavitt memberitahu Fox News pada Ahad (8 Jun): "Kami mahu China dan Amerika Syarikat terus bergerak ke hadapan dengan perjanjian yang dimeterai di Geneva."

Walaupun kerajaan UK menegaskan sekali lagi bahawa ia tidak terlibat dalam kandungan perbincangan itu dalam apa jua cara sekalipun, seorang jurucakap berkata: "Kami adalah sebuah negara yang memperjuangkan perdagangan bebas."

Pihak berkuasa UK "selama ini jelas menyatakan bahawa perang perdagangan bukan untuk kepentingan sesiapa jadi kami mengalu-alukan rundingan seumpama ini", tambah jurucakap tersebut.

NADIR BUMI

Rundingan di London itu berlangsung selang beberapa hari selepas Presiden Trump dan Presiden China Xi Jinping akhirnya mengadakan panggilan telefon sejak Encik Trump kembali ke Rumah Putih.

Encik Trump berkata panggilan itu yang berlangsung pada Khamis (5 Jun), mencapai "kesimpulan yang positif".

Presiden Xi dinukil oleh agensi berita Xinhua sebagai mengatakan "untuk membetulkan hala tuju kapal besar iaitu hubungan Sino-Amerika memerlukan kita untuk mengemudi dengan baik serta menetapkan haluannya".

Panggilan antara kedua-dua pemimpin negara itu dibuat selepas ketegangan antara meningkat antara kedua-dua negara, di mana Encik Trump menuduh Beijing melanggar perjanjian penurunan tarif yang dicapai di Geneva pada pertengahan Mei lalu.
Sumber : AFP/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita