Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China akan percepat perundingan kod tatalaku di Laut Cina Selatan

Anggaran Waktu Membaca:
China akan percepat perundingan kod tatalaku di Laut Cina Selatan

Menteri Luar China Wang Yi. (Gambar: DREW ANGERER / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / AFP)

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara China yang juga Menteri Luar, Wang Yi berkata China akan mempercepat perundingan mengenai kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam mewujudkan kerjasama dan keamanan.

“Kami akan menyokong multilateralisme sebenar dan memajukan rantau yang terbuka. Kami akan menegakkan kepaksian ASEAN dan Rangka Kerja Kerjasama Serantau ASEAN.

"Kami akan menentang konfrontasi dan mentaliti perang dingin," katanya merujuk kepada laut yang menjadi pertikaian itu dalam sidang media bersama dengan Encik Saifuddin selepas mesyuarat berkenaan, di Kuala Lumpur pada Selasa (12 Jul).

COC bertujuan untuk mengurangkan risiko konflik di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian, dengan beberapa negara anggota ASEAN dan China terlibat dalam tuntutan wilayah yang bertindih.

Encik Wang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia mulai Isnin (11 Jul).

Beliau berkata Malaysia menjadi persinggahan terakhir dalam rangka lawatannya ke lima negara Asia Tenggara dari 3 hingga 14 Julai. Empat negara lain ialah Myanmar, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Sepanjang lawatannya, Encik Wang berkata beliau amat merasakan aspirasi negara-negara di rantau ini untuk keamanan dan pembangunan serta persahabatan yang mendalam antara rakyat China dan negara-negara ASEAN.

“Dan saya amat merasakan keperluan mendesak dan prospek yang cerah untuk meningkatkan kerjasama antara China dan ASEAN.

“Rakyat China dan negara-negara ASEAN sudah berinteraksi antara satu sama lain selama lebih beribu tahun dan tiada siapa boleh memisahkannya. Tiada siapa boleh menghalang kita daripada mara ke arah pembangunan dan multilateralisme,” kata beliau.

Encik Wang berkata China bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia dan negara ASEAN yang lain untuk memperdalam kepercayaan bersama yang strategik dan meningkatkan penyelarasan strategik dan bekerjasama untuk menegakkan kestabilan serantau dan menggalakkan pembangunan bersama.

Mengenai hubungan China-Malaysia, beliau berkata kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) tahun depan dan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2024.

Encik Wang berkata beliau berada di Kuala Lumpur untuk meneliti semula aspirasi serantau kedua-dua negara, kemajuan dan pencapaian masa lalu serta bekerjasama dengan pihak Malaysia untuk menetapkan matlamat baru bagi hubungan, mengenal pasti keutamaan baru dan membawa kerjasama kedua-dua negara ke tahap baru.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan