Skip to main content

Dunia

Chiang Mai diselubungi jerebu dahsyat sedang tahap pencemaran di Utara Thailand melonjak

Anggaran Waktu Membaca:
Chiang Mai diselubungi jerebu dahsyat sedang tahap pencemaran di Utara Thailand melonjak

Pandangan umum menunjukkan patung Buddha putih diselubungi pencemaran dahsyat apabila asap (atas kiri) naik dari kebakaran hutan di lereng bukit di Pai pada 1 April 2026, di barat bandar kedua terbesar di Thailand, Chiang. (Gambar: AFP/Anthony Wallace)

Diterbitkan : 04 Apr 2026 06:24PM

CHIANG MAI: Selepas berjam-jam meluangkan masa di bahagian utara Thailand yang dipenuhi pencemaran, Pon Doikam pulang ke rumah dan menghembus hidungnya yang terasa panas dan mendapati darah beku terpercik di seluruh tisu.

Pembakaran pertanian bermusim, kebakaran hutan, dan corak cuaca menyebabkan musim pencemaran berlaku setiap tahun di kebanyakan tempat di Asia Tenggara.

Namun, beberapa kawasan di utara Thailand kini mengalami jerebu yang dianggap sangat teruk, malah penduduk tempatan juga merasa pelik dengan keadaannya.

Minggu ini, bandar kedua terbesar di Thailand, iaitu Chiang Mai, sering berada di kedudukan teratas dalam senarai bandar besar paling tercemar di laman IQAir.

Keadaan lebih buruk berlaku di Pai, iaitu kawasan tumpuan pelancong di sebelah barat yang terkenal dengan kawasan hijau dan pergunungan.

Beberapa alat pengesan di sana mencatatkan tahap PM2.5 melebihi 900 mikrogram bagi setiap meter padu. PM2.5 adalah habuk halus yang boleh masuk ke dalam saluran darah dan menyebabkan penyakit seperti barah.

Tahap ini adalah 60 kali ganda lebih tinggi daripada had pendedahan harian yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Keadaan geografi kawasan pergunungan itu menjadikannya lebih berisiko. Asap mudah terperangkap di kawasan tersebut, manakala kawasan hutan di lereng bukit pula sukar untuk dimasuki apabila kebakaran bermula.

SANGAT KECEWA

AFP menyaksikan pelbagai kebakaran marak di lereng bukit dan di sepanjang jalan antara Pai dengan Chiang Mai, menerangi kawasan luar bandar yang gelap gelita.

Anggota bomba sukarela seperti Maitree Nuanja berusaha sedaya upaya untuk menokok bekalan tempatan yang terhad, dengan banyak bergantung pada sumbangan seperti air minuman dan topeng muka.

Pada Rabu (1 Apr), seorang anggota bomba sukarela ditemui mati akibat disyaki mengalami keletihan melampau yang ada kaitan dengan haba dan masalah kesihatannya, kata pegawai itu kepada AFP.

Pencemaran amat berbahaya bagi mereka yang sudah ada masalah kesihatan, warga emas dan kanak-kanak.

Di Chiang Mai, kerajaan mendirikan beratus-ratus "bilik bebas habuk" - dilengkapi dengan penapis udara dan sistem tekanan positif yang menghalang udara tercemar - termasuk di pusat persaraan yang kini diberi nama Watwilai Chaiwan.

Jururawat bersara berusia 82 itu berkata pencemaran itu membuatnya takut untuk keluar dan memburukkan lagi rasa pening dan migrainnya.

Kerajaan Thailand mengadakan perbincangan minggu ini mengenai jerebu, dan beberapa daerah di Chiang Mai mengeluarkan pengisytiharan bencana untuk membantu mempercepatkan bantuan kewangan.

Tetapi aktivis udara bersih berkata lebih banyak usaha diperlukan, dan mendesak agar kerajaan bergerak pantas dalam undang-undang udara bersih yang terhenti tahun lalu dengan pembubaran parlimen.

"Kerajaan biasa pasti prihatin tentang udara bersih bukan sahaja sekarang tetapi sejak dahulu lagi," kata Kanongnij Sribuaiam, ketua pasukan undang-undang di Rangkaian Udara Bersih Thailand, yang mendesak undang-undang itu.

Jika tiada tindakan diambil menjelang 13 Mei, rang undang-undang itu akan tamat tempoh dan prosesnya perlu bermula dari awal, tambahnya.

"Orang ramai sangat kecewa."

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita