Champ-Elysees ditutup akibat rusuhan ganas
Ribuan penunjuk perasaan anti pemerintah dijangka memasuki kawasan Champs-Elysees hari ini (1 Dec), seminggu selepas rusuhan ganas berlaku di kawasan tarikan pelancong itu.

Champ-Elysees ditutup. (Gambar: Thomas Samson/AFP)
PARIS: Ribuan penunjuk perasaan anti pemerintah dijangka memasuki kawasan Champs-Elysees hari ini (1 Dec), seminggu selepas rusuhan ganas berlaku di kawasan tarikan pelancong itu. Para penunjuk perasaan turut membakar penghadang dan merosakkan harta benda awam sehingga Presiden Emmanuel Macron diibaratkannya sebagai 'adegan perang'.
Susulan kejadian tersebut, Champs-Elysees akan ditutup kepada lalulintas dan peserta tunjuk perasaan perlu menjalani pemeriksaan kad pengenalan oleh polis sebelum dibenarkan memasuki kawasan berkenaan bagi mengelakkan keganasan minggu lalu berulang lagi.
Lebih banyak tunjuk perasaan di seluruh negara berlaku pada Sabtu ketiga berturut - turut akibat kemarahan orang ramai terhadap pentadbiran Presiden Macron yang pada asalnya dicetuskan oleh peningkatan cukai minyak sebelum merebak kepada kenaikan kos sara hidup.
Encik Macron cuba menangani keadaan itu dengan menjanjikan rundingan di seluruh negara selama tiga bulan berhubung cara terbaik untuk mengubah Perancis kepada sebuah ekonomi rendah karbon tanpa membebankan golongan kurang berkemampuan.
Beliau turut berikrar memperlahankan kadar kenaikan cukai minyak jika harga bahan itu di peringkat dunia meningkat dengan pantas. Namun, ia akan hanya dilakukan selepas cukai tersebut dinaikkan Januari depan.
Pada Jumaat, pentadbiran Encik Macron cuba berunding dengan wakil gerakan ‘kuning’ namun sebahagian besar usaha itu berakhir dengan kegagalan.
Perdana Menteri, Edouard Philippe menjemput lapan ‘wakil’ untuk bertemu beliau di pejabat namun hanya dua yang hadir, sebelum seorang wakil melangkah keluar selepas diberitahu bahawa beliau tidak boleh menjemput stesen televisyen untuk menyiarkan pertemuan berkenaan secara langsung.
'Kami mahu maruah kami dikembalikan'
Ketika ditanya wartawan apakah permintaan yang diajukan, wakil berkenaan Jason Herbert berkata:"Kami mahu maruah kami dikembalikan dan kami mahu meneruskan kehidupan berdasarkan pekerjaan dilakukan, ia satu senario mustahil ketika ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.