CEO Telegram diberkas bagi siasatan pornografi kanak-kanak, pengedaran dadah di aplikasi
Pendakwa Raya Paris, Laure Beccuau, berkata Pavel Durov diberkas sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung kes disyaki terlibat dalam pelbagai jenayah termasuk menjalankan platform online yang membenarkan transaksi haram, pornografi kanak-kanak, pengedaran dadah dan penipuan.

(Gambar: AFP/Steve JENNINGS)
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mengesahkan penahanan Durov, yang dilakukan di Lapangan Terbang Le Bourget di luar Paris pada petang Sabtu.
Encik Macron menegaskan tidak ada motif politik dalam penahanan tersebut walaupun terdapat banyak komen palsu online. Sebaliknya tambah beliau, ia adalah sebahagian daripada siasatan jenayah.
Tegasnya lagi, Perancis tetap komited terhadap kebebasan bersuara yang sah.
"Penangkapan presiden Telegram di wilayah Perancis berlaku sebagai sebahagian daripada siasatan kehakiman yang sedang dijalankan, tulis Presiden Macron di X.
"Ini sama sekali bukan keputusan politik. Terpulang kepada hakim untuk membuat keputusan."
Sementara itu, dalam satu kenyataan, pendakwa Raya Paris, Laure Beccuau, berkata Durov diberkas sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap seseorang yang tidak dinamakan, dilancarkan oleh Unit Jenayah Siber pejabatnya pada 8 Julai.
Siasatan itu adalah berhubung kes disyaki terlibat dalam pelbagai jenayah termasuk menjalankan platform online yang membenarkan transaksi haram, pornografi kanak-kanak, pengedaran dadah dan penipuan.
Dakwaan lain termasuk keengganan untuk menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa, pengubahan wang haram dan menyediakan perkhidmatan kriptografi kepada penjenayah, menurut kenyataan itu.
Tambah beliau lagi, Durov boleh ditahan sehingga Rabu.
Reuters tidak dapat menghubungi mana-mana peguam yang mewakili Durov.
Durov, seorang bilionair 39 tahun, turut digelar sebagai 'Mark Zuckerberg dari Rusia' serta mempunyai kewarganegaraan Perancis dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Kementerian Luar UAE, dalam ulasan pertamanya, berkata dalam satu kenyataan bahawa ia telah mengemukakan permintaan kepada Perancis "untuk memberikan Durov semua perkhidmatan konsular yang diperlukan dengan segera".
Menurut Forbes, Durov dianggarkan mempunyai kekayaan sebanyak AS$15.5 bilion (S$20.23 bilion).
Durov pada April lalu berkata beberapa pemerintah berusaha untuk memberinya tekanan, tetapi aplikasi itu harus kekal sebagai platform neutral dan bukan 'alat geopolitik'.
Telegram tidak memberikan butiran penahanan tersebut tetapi berkata syarikat yang berpangkalan di Dubai itu mematuhi undang-undang Kesatuan Eropah dan adalah "dalam piawaian industri dan sentiasa bertambah baik".
"Ketua Pegawai Eksekutif Telegram Pavel Durov tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan kerap melakukan perjalanan di Eropah," kata Telegram dalam satu kenyataan. "Adalah tidak masuk akal untuk mendakwa bahawa platform atau pemiliknya bertanggungjawab atas penyalahgunaan platform itu."
Kremlin pada Isnin berkata ia masih belum melihat sebarang tuduhan rasmi Perancis terhadap Durov.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.