Skip to main content

Dunia

CEO Petronas mohon maaf atas insiden raikan kemenangan F1 SG

Anggaran Waktu Membaca:
CEO Petronas mohon maaf atas insiden raikan kemenangan F1 SG

Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 07 Oct 2025 10:57PM Dikemas Kini : 07 Oct 2025 11:03PM
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz memohon maaf susulan insiden ketika sambutan kemenangan di Formula One (F1) Grand Prix Singapura baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan pada Selasa (7 Okt), beliau berkata kemenangan itu merupakan pencapaian yang amat dinanti-nantikan dalam kerjasama strategik yang terjalin dengan Pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One, pada musim ini.

Tengku Muhammad Taufik pada masa yang sama berbesar hati diberikan penghormatan untuk mewakili pasukan bagi menerima Trofi Kemenangan Konstruktor.

Namun, katanya lagi, keterujaan spontan beliau ketika meraikan detik tersebut mungkin dianggap tidak bersesuaian dengan tempatnya.

"Ingin saya jelaskan bahawa saya tidak mengambil sebarang minuman keras, namun sebagai seorang Muslim, saya akur bahawa saya seharusnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk sambutan sedemikian.

"Oleh itu, saya ingin memohon maaf atas perbuatan saya yang secara tidak sengaja telah menyinggung perasaan dan saya mengambil sepenuh tanggungjawab di atas segala tindakan saya," jelas beliau.

Tengku Muhammad Taufik, bagi pihak Petronas turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas sokongan berterusan terhadap penglibatan syarikat minyak dan gas itu dalam perlumbaan F1.

"Berkat usaha gigih Petronas, kejayaan yang dikecapi sekarang dan kecemerlangan yang bakal dicapai di masa akan datang dalam era bahan api mampan mampu membuktikan kebolehan dan keunggulan inovasi ciptaan Malaysia," katanya lagi.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita