Skip to main content

Dunia

CEO AirAsia sahkan perbincangan lanjut untuk beli pesawat COMAC

Syarikat penerbangan tambang jimat Malaysia, AirAsia, mengadakan perbincangan lanjut dengan pengeluar pesawat China, COMAC, untuk memperoleh pesawat badan sempit bagi armadanya.

Anggaran Waktu Membaca:
CEO AirAsia sahkan perbincangan lanjut untuk beli pesawat COMAC

Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia dan syarikat induknya Capital A, menghadiri satu wawancara di Sepang, Malaysia, pada 26 Februari 2024. (Gambar fail: REUTERS/Hasnoor Hussain)

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang jimat Malaysia, AirAsia, mengadakan perbincangan lanjut dengan pengeluar pesawat China, COMAC, untuk memperoleh pesawat badan sempit bagi armadanya.

“Kami sedang berbincang secara aktif. Saya boleh sahkan perkara itu,” kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tony Fernandes, kepada Mediacorp.

“Kami benar-benar serius mengenai COMAC. Kami teruja. Ia merupakan langkah besar ke hadapan untuk membuat keputusan ini.”

Beliau enggan mendedahkan butiran mengenai saiz tempahan, garis masa penghantaran atau harga, dengan berkata: “Kami sedang melakukan penilaian. Kami berada dalam proses memahami pesanan kami.”

Encik Fernandes berkata beliau pernah menaiki pesawat COMAC yang dikendalikan syarikat penerbangan milik pemerintah China.

Beliau juga pernah melawat kemudahan pengilangan syarikat itu.

“(Pesawat COMAC) telah beroperasi dengan sangat berjaya di China. Saya melawat kilangnya – mereka sangat komited (dan) bersemangat,” kata beliau.

“Ia produk yang baik. Kami sangat serius mengenainya. Saya rasa sesiapa yang tidak melihat pilihan ini akan menanggung akibatnya pada jangka panjang.”

China merupakan salah satu pasaran antarabangsa terbesar AirAsia, dengan syarikat penerbangan itu mengendalikan 23 destinasi di sana.

“(Tetapi) kami tidak membeli pesawat China hanya kerana kami terbang ke China. Kami membeli pesawat China kerana ia baik, harganya sesuai,” kata Encik Fernandes.

“Teknologi China sudah terbukti. Mereka menghasilkan kereta yang hebat, telefon bimbit yang hebat, cip yang hebat.”

Satu lagi faktor yang menarik, tambah beliau, ialah COMAC – Commercial Aircraft Corporation of China – sedang meningkatkan pengeluaran pesawat, yang mengurangkan masa penghantaran.

Sebagai salah satu syarikat penerbangan tambang jimat terbesar di Asia, AirAsia kini memiliki armada dengan 255 pesawat, kesemuanya Airbus, dengan ratusan lagi dalam tempahan. Namun masalah rantaian bekalan yang berterusan sebelum ini menangguhkan penghantaran Airbus.

AirAsia juga dilaporkan sedang mempertimbangkan pesawat Embraer E2 keluaran Brazil sedang ia berusaha untuk menambah jumlah pesawat lebih kecil untuk laluan serantau.

PERKEMBANGAN COMAC

Pengeluar pesawat China itu, dengan kehadirannya yang terhad di luar negara, sedang berusaha untuk mengembangkan pasaran antarabangsa dan mencabar industri penerbangan yang sekian lama didominasikan Airbus dan Boeing.

Di luar China, beberapa syarikat penerbangan Asia Tenggara – termasuk syarikat tambang jimat Indonesia TransNusa, syarikat tambang jimat Vietnam Vietjet dan syarikat penerbangan kebangsaan Laos, Lao Airlines – mengendalikan pesawat jet rantau C909.

GallopAir, syarikat penerbangan yang disokong China dan berpangkalan di Brunei, menandatangani perjanjian bernilai AS$2 bilion (S$2 bilion) untuk membeli 30 pesawat COMAC, termasuk pesawat lorong tunggal C919. Model C919 bersaing secara langsung dengan Airbus A320 dan Boeing 737, dan COMAC berhasrat untuk memasarkan model itu kepada pembeli luar negara.

Syarikat itu menyasarkan untuk memulakan penerbangan komersil C919 dari China ke Asia Tenggara pada tahun depan sebagai langkah awal untuk menembusi pasaran antarabangsa.

HAB PENERBANGAN TAMBANG JIMAT SERANTAU

Melihat ke hadapan, Encik Fernandes berkata AirAsia berharap dapat membina sebuah hab penerbangan tambang jimat di rantau ini untuk menghubungkan penumpang ke lebih banyak destinasi menerusi penerbangan jarak dekat.

“Kami mahu membina sebuah Dubai di Kuala Lumpur dan Bangkok,” katanya, merujuk kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, salah satu pintu masuk perjalanan antarabangsa paling sibuk di dunia.

Beliau mengakui Asia Tenggara mempunyai hab global utama seperti Lapangan Terbang Changi Singapura, namun berkata hab itu kebanyakannya melayani penumpang premium.

“Tiada sesiapa yang pernah membina hab penerbangan tambang jimat. Matlamat saya adalah membolehkan orang ramai terbang lebih jauh dengan memanfaatkan strategi pesawat satu lorong (narrow-body) berjarak dekat. Anda boleh terbang dari satu destinasi, transit, dan terus ke destinasi lain,” tambah beliau.

Encik Fernandes berkata AirAsia masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik COVID-19. Syarikat itu sedang menyusun semula buku pesanan pesawatnya.

Kata Encik Fernandes, beliau berharap dapat menyelesaikan proses penyusunan semula itu dalam tempoh dua bulan akan datang. Selepas itu, beliau menjangka dapat membuat pengumuman rasmi berhubung pembelian pesawat COMAC.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita