Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Cendawan Lion's Mane dapat tingkatkan kesihatan otak

Anggaran Waktu Membaca:
SYDNEY: Sebuah pasukan yang diketuai oleh penyelidik dari University of Queensland (UQ) telah mengenal pasti bahan aktif biologi baru daripada cendawan lion's mane, yang boleh meningkatkan pertumbuhan saraf dan merangsang daya ingatan, lapor Xinhua.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam Journal of Neurochemistry bulan lalu, bahan isoindolin yang digelar "N-de phenylethyl isohericerin" dan derivatif hidrofobiknya "hericene A" sangat mujarab dalam menggalakkan pertumbuhan akson yang meluas dan neurit dalam neuron hippocampal yang dikultur.

Penyelidik mendapati apabila diberi makan dengan ekstrak mentah cendawan dan "hericene A", tikus makmal mempamerkan peningkatan ekspresi yang mengakibatkan memori dipertingkatkan dengan ketara.

APA ITU CENDAWAN LION'S MANE

Cendawan ini berasal dari Amerika Utara, Eropah, China, dan Jepun. Di Amerika Syarikat, ia paling banyak terdapat di wilayah Selatan.

Tidak ada spesies cendawan lain yang kelihatan sepertinya, dan ia lebih dari sekadar cendawan yang cantik. Malah, cukup jelas dari mana ia mendapat namanya kerana ia mempunyai tulang belakang yang berwarna putih dan kelihatan seperti kepala rambut singa yang besar (atau seperti segumpul ais, atau seperti anemon laut darat). Nama lain untuk spesies cendawan ini termasuk 'janggut lelaki tua,' 'pom pom,' dan 'landak.'

"Ekstrak daripada cendawan ini telah digunakan dalam perubatan tradisional di negara-negara Asia selama berabad-abad, tetapi kami mahu secara saintifik menentukan potensi kesannya terhadap sel-sel otak," kata Frederic Meunier, pengarang bersama dan profesor di UQ.

FAEDAH KESIHATAN

"Menggunakan mikroskop resolusi tinggi, kami mendapati ekstrak cendawan dan komponen aktifnya sebahagian besar meningkatkan saiz pertumbuhan, yang sangat penting untuk sel otak bagi mengesan persekitaran mereka dan mewujudkan hubungan baru dengan neuron lain di dalam otak," tambah Profesor Meunier.

Kajian itu memerlukan penyelidikan lanjut mengenai derivatif Hericerin untuk melihat sama ada ia boleh melambatkan penurunan kognitif yang berkaitan dengan penuaan dan penyakit neurodegeneratif.

Seorang lagi pengarang bersama dan rakan penyelidik UQ Ramon Martinez-Marmol berkata penemuan itu boleh digunakan untuk rawatan dan pencegahan gangguan kognitif seperti penyakit Alzheimer.

"Rancangan kami adalah untuk mengenal pasti bahan bioaktif daripada sumber semula jadi yang boleh sampai ke otak dan mengawal pertumbuhan neuron, menghasilkan pembentukan memori yang lebih baik, " kata Encik Martinez-Marmol.
Sumber : Bernama/HY/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan