Cemas bawa dadah, lelaki rempuh kereta peronda polis
Cemas kerana membawa dadah, seorang lelaki bertindak merempuh sebuah kereta peronda polis, sebuah kereta dan motosikal dalam usaha melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Taman Intan.
(Gambar: Bernama)
KLUANG: Cemas kerana membawa dadah, seorang lelaki bertindak merempuh sebuah kereta peronda polis, sebuah kereta dan motosikal dalam usaha melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Taman Intan.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata dua orang awam cedera ringan dalam kejadian itu, manakala tiada kecederaan dialami anggota polis yang bertugas pada Jumaat (29 Mei).
Kereta Proton Wira Aeroback berwarna merah yang dipandu suspek diarahkan berhenti oleh anggota peronda di Batu 4, Jalan Kluang-Mersing apabila dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.
“Bagaimanapun, suspek memecut melarikan diri ketika dihampiri anggota polis menuju ke arah Ayer Hitam, sejauh kira-kira 20 kilometer. Sebaik tiba di Pusat Rekreasi Zenxin di Jalan Batu Pahat, suspek bertindak berpatah balik ke arah Kluang dan merempuh sebuah kereta peronda polis yang membuat sekatan di simpang Felda Ayer Hitam.
“Kereta yang dipandu suspek kemudiannya terbabas setelah merempuh sebuah motosikal dan sebuah kereta di lampu isyarat berhampiran Taman Intan,” katanya dalam kenyataan semalam (29 Mei).
ACP Mohd Abduh berkata hasil siasatan ke atas suspek berusia 35 tahun yang ditahan itu, polis menjumpai sebuah beg kecil mengandungi tujuh paket dipercayai dadah dan peralatan menghisap dadah di dalam sebuah lagi beg kecil.
“Lima paket dadah itu disyaki jenis heroin dianggarkan seberat tiga gram dan dua paket lagi disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 1.05 gram.
"Suspek kini ditahan dan siasatan akan dilakukan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Permohonan reman suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kluang hari ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.