Cef Nora Haron bawa makanan Nusantara ke California, buka restoran baru

(Gambar: Adahlia Cole)
Beliau mengambil langkah berani untuk menghidangkan makanan nusantara dan berkonsepkan 'upscale' di restoran barunya itu di bahagian bandar Walnut Creek.

"Hidangan Nusantara boleh disifatkan sebagai masakan pedas, kaya dan berempah. Ia juga kompleks dan rumit, mengikut kepada sejarah orang Nusantara," tambah beliau.
Restoran dinamakan "SanDai And Kopi Bar" itu juga menawarkan hidangan 'Indo-Cali' (Indonesia dan California).
SanDai mempunyai beberapa tafsiran dan makna dan dalam bahasa Indonesia bermaksud "Santai" dan dalam bahasa Cina bermasud "tiga generasi".
Menurut Cef Nora Haron, ia juga bermaksud "tiga generasi sedang berseronok" dalam erti kata lain.

"Meskipun masakan saya mungkin kelihatan berbeza (dari yang tradisional), kami cuba untuk pastikan rasanya tidak jauh daripada rasa aslinya supaya ia boleh mengingatkan kami tentang tanah air kami," ujar Cef Nora Haron.

Restoran tersebut diuruskan dan di bawah naungan Singapore Kopitiam, Inc. USA Group.
TEKAD UNTUK BAWA MAKANAN NUSANTARA KE AMERIKA SYARIKAT
Cef Nora yang sudah menetap di California selama 24 tahun ini bertekad untuk menembusi pasaran di Amerika Syarikat, terutamanya di California yang terkenal dengan kafe-kafe yang dilanggani oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Kebolehan beliau diiktiraf dan memacu langkahnya untuk menggalas jawatan sebagai Pengarah Operasi Kulinari di Singapore Kopitiam Inc. USA yang juga menguruskan cawangan Kiliney Kopitiam di sana.

Dalam usahanya membawa hidangan nusantara ke California, Cef Nora juga berdepan dengan pelbagai cabaran.
Ini termasuk kesukaran mendapatkan bahan-bahan tertentu dan citarasa warga tempatan.
"Misalnya belacan, saya harus cuba untuk menyesuaikan diri dengan kekurangan bekalan dan menggantikan bahan itu dengan bahan lain seperti cendawan Shitake. Ini terutama sekali buat penduduk di California yang mempunyai pelbagai jenis alahan dan sekatan pemakanan," kongsi Cef Nora Haron.
TERIMA SAMBUTAN YANG MEMBERANSANGKAN
Meskipun baru sahaja dilancarkan pada Mei lepas, restoran SanDai and Kopi Bar telahpun menerima sambutan yang cukup memberangsangkan sehingga mendapat rating 4.2 bintang di platform Yelp.
Malah, restoran dan kafe itu juga menerima maklum balas yang positif daripada para pelanggannya yang rata-rata merupakan penduduk di sana.
.jpg?itok=Vq3ScP62)
"Saya sangat teruja dengan makanan dan rupa setiap hidangan. Saya cuba hampir semua masakan dan kesemuanya sangat lazat! Ini adalah interpretasi seorang cef yang mahir dan ia bukan makanan jalanan Indonesia biasa. Ia adalah masakan Indonesia yang dipertingkatkan dan 'fine dining' yang anda boleh dapatkan di Bali atau Jakarta", tulis Amanda C. di ruangan komen.
MINAT DALAM DUNIA MASAKAN
Minat Cik Nora Haron dalam bidang masakan ini tidak datang secara tiba-tiba. Ibarat peribahasa, "ke mana tidak tumpah kuah kalau tidak ke nasi".
Minatnya ini tercetus ketika melihat ibu dan arwah neneknya memasak pada usia muda.
Ibunya juga pernah menjalankan perniagaan katering di Singapura yang menawarkan masakan Melayu.
"Saya rindu masak dengan arwah nenek saya yang berhijrah dari Indonesia ke Singapura untuk memulakan kehidupan yang lebih baik di sana. kami membesar dengan makan banyak lauk ikan," kongsi Cef Nora Haron.
Sebagai seseorang yang lahir dengan darah kacukan Indonesia dan India, Cef Nora Haron membesar dengan makanan yang kaya dengan rasa dan rempah ratus.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.